K'jaan belum dapat beri jaminan
Kerajaan belum dapat memberi jaminan bahawa dua sumber klip video 'pita Lingam' akan diberi perllndungan mutlak jika mereka tampil ke hadapan.
Kerajaan belum dapat memberi jaminan bahawa dua sumber klip video 'pita Lingam' akan diberi perllndungan mutlak jika mereka tampil ke hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz berkata kabinet belum membuat sebarang keputusan untuk memberi perlindungan seumpama itu, sementara menunggu hasil siasatan panel bebas.
"Jika (laporan itu berkata) mereka (tidak dapat) menjalankan siasatan kerana kurang mendapat kerjasama (dari saksi) dan mereka perlukan bantuan untuk melindungi pemberi maklumat, maka kita akan timbangkan (nya). Buat masa ini, tidak ada permintaan rasmi dan ia mesti dibuat oleh panel tersebut," katanya.
Mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Nazri, menteri yang bertanggungjawab dalam halehwal perundangan, sebelum itu, memberitahu media bahawa beliau akan meminta kabinet memberi perlindungan kepada pemberi maklumat.
Beliau memberitahu demikian selepas mengakui membuat kesilapan apabila berkata wujud Akta Perlindungan Saksi untuk melindungi pemberi maklumat, sedangkan undang-undang itu belum wujud.
Jaminan penting
Dalam temubual dengan Malaysiakini semalam, beliau juga berkata perlindungan itu mestilah sama seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 untuk menggalakkan pemberi maklumat tampil ke hadapan.
"Inilah yang perlu dilakukan oleh kerajaan, (ia) mesti memberi pelindungan, termasuk (tidak) mengambil tindakan terhadap sumber-sumber maklumat dalam prosiding sivil (pada masa hadapan). Kita mesti memberi jaminan ini, atau (panel) tidak dapat menjalankan tugasnya," katanya.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memberi tempoh dua minggu (sehingga esok) kepada dua individu dari PKR untuk mendedahkan sumber klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam mengenai pelantikan hakim atau berdepan dengan risiko hukuman penjara.
Klip video tersebut yang didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 September lalu, menunjukkan Lingam sedang berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mengenai pelantikan hakim-hakim 'yang sehaluan'.
Ahmad Fairuz merupakan Hakim Besar Malaya ketika klip video itu dirakamkan pada tahun 2002. Beliau bagaimanapun telah menafikan - melalui Nazri - yang dia terbabit, manakala Lingam masih belum memberi sebarang komen mengenainya.
Klip tersebut telah mencetuskan kemarahan di kalangan masyarakat perundangan, dan ekoran itu kerajaan telah menubuhkan panel tiga anggota untukmenyiasat kesahihan klip video tersebut. Berita asal

