Senarai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang perlu ada keseimbangan antara orang muda dengan orang yang pengalaman, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh.

"Jika terlaluramai orang muda, ia (akan) menjadi panas," kata beliau yang juga kata Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Perdana Menteri.

Oleh itu, katanya, keputusan sama ada wakil rakyat dikekal atau tidak, tidak semestinya bergantung kepada umur semata-mata.

Katanya, ini bermakna wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang sudah empat penggal berkhidmat - tidak dipilih bertanding sekali lagi.

Katanya, BN menggunakan indeks prestasi kerja (KPI) untuk mengukur dan memantau komitmen kerja ahli Parlimen dan Adun, sebaik selesai pilihanraya umum lalu.

Laporan tahunan

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu itu merupakan salah seorang yang bertanggungjawab memantau dan menilai prestasi wakil rakyat BN untuk beberapa negeri.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak terbabit dengan keputusan sama ada wakil rakyat yang dinilai itu akan dipilih bertanding lagi atau sebaliknya.

Beliau berkata, ahli Parlimen dan Adun BN itu dikehendaki menghantar laporan tahunan ke pejabat Perdana Menteri untuk dinilai prestasi mereka.

Secara keseluruhan, katanya, prestasi ahli Parlimen dan Adun BN di seluruh negara berada dalam keadaan baik dan memuaskan.

"Bagaimanpun, saya ada menerima aduan mengenai wakil yang tidak menjawab surat yang dihantar oleh pengundi di kawasan yang diwakilinya.

Prestasi wakil rakyat

"Pengundi terbabit telah menghantar surat itu kepada saya, saya memanjangkannya kepada wakil rakyat tersebut dan kini telah berjaya diselesaikan," katanya ketika ditemui malaysiakini di pejabatnya minggu lalu.

Wan Farid berkata, jika prestasi wakil rakyat berkenaan tidak berubah, beliau akan menyerahkan perkara tersebut kepada pengerusi Perhubungan Umno negeri masing-masing untuk tindakan lanjut.

Katanya, tiada sebab wakil rakyat tidak boleh berkhidmat dengan baik kerana sebelum bertanding, mereka telah berjanji menjadi wakil rakyat yang baik.

"Tugas saya adalah memantau prestasi wakil rakyat dan bukannya menekan mereka, " katanya,

Berikutan itu, menurutnya beliau banyak menghabiskan masa untuk turun ke kawasan wakil rakyat yang dipantaunya untuk mendapat maklumat yang lebih banyak mengenai prestasi wakil rakyat terbabit.