Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang berlepas ke angkasa malam tadi telah meninggalkan 'wasiat' dalam tiga pucuk surat untuk ibu bapanya sebagai peringatan jika apa-apa berlaku kepadanya sepanjang misi itu.

Ibunya Datin Zuraidah Sheikh Ahmad berkata surat itu diserahkan kepadanya ketika beliau dan suaminya berada di dalam bas untuk menyaksikan pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa Dr Sheikh Muszaphar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

"Surat itu macam wasiat, dia meminta maaf, katanya beliau sayangkan kami berdua dan adik-adiknya dan jika ada apa-apa berlaku semua, salah dan silap minta dimaafkan," katanya dengan linangan air mata.

Menurut laporan Bernama, Dr Sheikh Muszaphar, 35, berlepas dengan kapal angkasa Soyuz bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada pukul 7.21 malam waktu tempatan (9.21 malam waktu Malaysia).

Dr Sheikh Muszaphar Shukor, doktor bedah ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang berasal dari Seremban, akan berada di ISS selama 10 hari.

Program angkasawan negara itu adalah persetujuan timbal-balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia dan ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Zuraidah berkata anaknya itu juga turut meminta supaya didoakan dia pergi dan balik dengan selamatnya.

Rasa lega

Ketika menceritakan detik-detik pelancaran roket itu, Zuraidah berkata beliau menangis sekuat-kuatnya kerana tidak tahan sebak melihat anaknya berlepas.

"Saya juga takut kerana melihat api yang keluar begitu kuat daripada corong bawah roket berkenaan, itu amat menakutkan, " katanya.

Bagaimanapun selepas melihat roket itu berada di angkasa dengan selamat, Zuraidah mengakui merasa amat lega.

Bapanya Datuk Sheikh Mustafa Sheikh Shukor berkata perasaan takut turut menyelubungi dirinya apabila melihat roket itu dilancarkan.

"Saya takut kerana apa-apa boleh berlaku walaupun saya sudah bersedia menghadapi apa jua keadaan. Ini kerana dia sudah dilatih lebih setahun," katanya

Bagaimanapun, beliau gembira impian anaknya tercapai akhirnya, malah anaknya telah memaklumkan kepadanya bahawa dia akan terus terlibat dalam program angkasawan sekembalinya dari angkasa.

Sementara itu ibu kepada Kapt Dr Faiz Khaleed, Maznah Mohamed berkata beliau merasa gembira dan berharap Dr Sheikh Muszaphar akan pergi dan kembali dengan selamatnya.

Doa ibu

"Saya doa dan harapkan dia dapat membuat yang terbaik untuk negara," katanya.

Mengenai cadangan anaknya dilibatkan dalam misi angkasa akan datang, Maznah berkata itu terpulang kepada Dr Faiz dan sebagai ibu, beliau akan menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh anaknya nanti.

Agensi Angkasa Rusia (Rosmoscos) telah membuat keputusan Selasa lalu untuk menghantar Dr Faiz menyertai misi angkasa bagi sesi 2008/2009.

"Kejayaan ini juga bererti kita mula meneroka satu dimensi baru yang selama ini hanya diterokai orang lain. Maknanya kita dalam arah menuju status negara maju dan kita telah menunjukkan kebolehan kita untuk setanding dengan mereka yang lebih maju," katanya kepada pemberita selepas majlis sama.

Sementara itu, Bernama juga melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pencetus idea melahirkan angkasawan negara, mengucapkan tahniah kepada Dr Sheikh Muszaphar yang terpilih sebagai angkasawan pertama Malaysia.

Beliau yakin, dengan semangat serta kecekapan yang diperolehi daripada program latihan angkasawan yang telah dituruti, Dr Sheikh Muszaphar Shukor akan berjaya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna.

"Sebagai rakyat, saya berdoa agar misi yang akan membawa Dr Sheikh Muszaphar ke Stesen Angkasa Antarabangsa berjalan lancar dan selamat," kata Dr Mahathir, yang masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara selepas menjalani pembedahan pintasan jantung bulan lepas, dalam satu kenyataan semalam.

Sumber inspirasi

Dr Mahathir yang mencetuskan idea melahirkan angkasawan pertama negara itu ketika menjadi Perdana Menteri, berharap segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi daripada misi itu akan dikongsi bersama dengan rakyat, dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

Dr Mahathir berkata kejayaan kedua-duanya menyertai program Angkasawan itu membuktikan rakyat Malaysia mempunyai kecekapan tidak kurang hebatnya

berbanding bangsa lain.

"Tidak ada apa-apa boleh menghalang kita daripada mencapai yang terbaik. Hanya kecekalan, keberanian, semangat ingin berjaya dan tidak mahu tunduk serta mengalah yang akan membawa kita ke mercu kejayaan.

"Sekali lagi tahniah diucapkan kepada Dr Sheikh Muszaphar, selamat berangkat dan selamat kembali.

"Kepada Dr Faiz, walaupun tidak terpilih pada kali ini saya tetap gembira kerana dikatakan berpeluang menyertai program Angkasawan yang kedua di masa depan," katanya.

Dr Mahathir turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak dan agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.