Beberapa hari selepas insiden di majlis makan malam anjuran DAP Pulau Pinang pada malam Sabtu lalu, tumpuan kini terarah kepada satu lagi majlis makan malam sebagai tanda penghargaan kepada veteran parti itu, Lim Kit Siang.
Majlis itu dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu ini.
Majlis makan malam anjuran Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke itu sebagai meraikan ulang tahun kelahiran Kit Siang yang ke-84.
Menurut maklumat yang diperoleh Malaysiakini, jemputan telah dihantar kepada pemimpin-pemimpin DAP serta sayap wanita dan pemuda parti tersebut.
Acara itu akan diadakan di sebuah restoran Cina di Sunway Velocity Mall.
Pada sidang media Sabtu lepas, Loke berkata majlis makan malam yang akan datang merupakan bukti bahawa DAP kekal bersatu padu, dengan menyatakan bahawa "tiada kisah Romance of the Three Kingdoms" dalam parti itu.
Namun pada hari yang sama, berlaku satu kekecohan di majlis makan malam anjuran DAP Pulau Pinang apabila pengerusi DAP negeri, Steven Sim, diejek dan dihina dengan kata-kata kesat oleh Tan Khong Chong, pembantu khas kepada pengerusi kebangsaan DAP, Lim Guan Eng.

Sebahagian daripada insiden itu dirakam dalam video dan kini tular di media sosial.
Tan bagaimanapun kemudiannya memohon maaf atas insiden itu.
Guan Eng, yang juga Ahli Parlimen Bagan, dikatakan menghadapi saingan sengit dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu pada 16 Mac depan.
‘Sokongan padu kepada Guan Eng’
Dalam satu kenyataan hari ini, DAP Klang menyatakan rasa bangga atas penganjuran "majlis makan malam yang bermakna" semalam bagi "meraikan sokongan padu" kepada kepimpinan bersatu yang terdiri daripada Guan Eng, Loke, ketua Whip Nga Kor Ming, dan timbalan pengerusi kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.

Kenyataan itu menyebut bahawa majlis makan malam tersebut dianjurkan oleh ketuanya, V Ganabatirau, yang juga merupakan anggota exco Selangor, di sebuah restoran di Klang.
Antara pemimpin yang hadir termasuk Guan Eng, Gobind, Ganabatirau; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; exco Selangor, Ng Suee Lim, serta Adun Pandamaran, Leong Tuck Chee, S Preakas (Kota Kemuning), Quah Perng Fei (Bandar Baru Klang) dan Michelle Ng (Subang Jaya).
"Majlis ini dihadiri oleh lebih daripada 120 cawangan dari Klang, Kota Raja dan Shah Alam serta kawasan sekitarnya, dengan jumlah kehadiran melebihi 300 perwakilan.
"Ini menunjukkan sokongan kuat terhadap parti dan perpaduan yang berterusan dalam kalangan ahli dan kepimpinan," menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu turut mendakwa bahawa mereka yang hadir menunjukkan "sokongan kuat" kepada Guan Eng.
