Naib Presiden PKR, R Sivarasa and Sim Tze Tzin yang merupakan penyelaras politik Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mendedahkan identiti sumber klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam walaupun berdepan dengan ancaman hukuman penjara.

Kedua-duanya mendedahkan pendirian mereka itu selepas lebih dua jam berada di pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) Kuala Lumpur.

"Kami tidak memberi sebarang maklumat mengenai identiti sumber tersebut atas alasan ianya boleh menjejaskan keselamatan diri mereka," kata Sivarasa.

"Sehinggalah sumber-sumber tersebut memberi kebenaran untuk kami mendedahkan identiti mereka, maka selagi itulah kami akan berpegang kepada janji kami untuk melindungi mereka," tambahnya.

Pada 20 September lalu, Sivarasa dan Sim membuat laporan kepada BPR menggesa badan itu menyiasat klip video yang menunjukkan Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada tahun 2002, mengenai pelantikan hakim-hakim.

Mereka kemudiannya dipanggil memberi kenyataan kepada BPR dan diminta mendedahkan identiti sumber tersebut, sebelulm diberikan notis mengarahkan mereka berbuat demikian dalam tempoh seminggu (hingga hari ini) atau berdepan dengan risiko hukuman penjara.

Notis itu menyebut, kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut, melanggar Seksyen 29 (c) Akta Mencegah Rasuah 1997.

Di bawah Seksyen 58 akta yang sama, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara.

'Salahguna kuasa'

Sivarasa dan Sim - bersama peguam mereka William Leong dan Amer Hamzah Arshad - telah menyerahkan pengisytiharan berkanun pagi ini.

Dalam pengisytiharan berkanun itu, Sivarasa memaklumkan kepada badan tersebut bahawa notis mengarahkan mereka mendedahkan identiti sumber mereka adalah 'salah dan merupakan penyalahgunaan kuasa BPR' atas beberapa sebab.

Antaranya ialah notis tersebut dikeluarkan kepada mereka sebelum kenyataan Lingam dan Ahmad Fairuz diambil.

"Oleh itu, tidak ada sebarang asas untuk pegawai penyiasat membuat andaian bahawa video tersebut mungkin bukan satu rakaman yang sahih," kata Sivarasa.

Beliau juga berkata bahawa pegawai BPR tidak mendedahkan sama ada sebarang kenyataan telah diambil dari individu-individu yang dinamakan dalam klip video tersebut,

Sebab-sebab lain ialah BPR gagal untuk mendapatkan bantuan pakar teknikal untuk mengesahkan kesahihan klip video itu, manakala perlindungan di bawah Seksyen 53 Akta Mencegah Rasuah 1997 hanya untuk melindungi pegawai BPR selepas menerima maklumat, dan bukan pemberi maklumat sendiri.

'Nazri kelirukan rakyat'

Sivarasa juga mempersoalkan peranan BPR dalam membantu panel bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat kesahihan klip video itu.

"Datuk Nazri Abdul Aziz (menteri yang menjaga halehwal perundangan) berkata, BPR membantu panel tersebut, tetapi di bawah akta 1997, BPR tidak boleh mendedahkan maklumat kepada sesiapapun.

"Ini telah menimbulkan keraguan dan persoalan, maklumat apakah yang BPR ada. Juga, apa yang cuba dinyatakan oleh Nazri? Beliau telah mengelirukan rakyat," katanya.

Minggu lalu, Nazri berkata, BPR membantu panel bebas yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor itu kerana badan itu mempunyai tenagakerja dan jika klip video itu disahkan sahih, maka panel itu akan dibubarkan dan Perdana Menteri akan memutuskan langkah seterusnya.

Ditanya sama ada BPR akan mengambil sebarang tindakan terhadap mereka kerana enggan mendedahkan sumber klip video itu, Sivarasa berkata: "Mereka tidak kata iya atau tidak, jadi kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku."

Sivarasa dan Sim telah disoal oleh pegawai dari Cawangan Khas BPR - Chuah Lay Choo dan Premraj Victor - dari Putrajaya.

Kedua-dua pegawai BPR itu enggan bertemu pihak media dalam mesej yang disampaikan oleh seorang kerani di situ. Berita asal