Forum Wakil Rakyat Malaysia (Fowram) yang dijadual akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 21 Oktober ini, telah ditangguhkan.

Pemangku Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, tarikh baru pelancaran forum itu akan ditetapkan kemudian oleh sekretariat Fowram.

"Saya baru dimaklumkan mengenai penangguhan itu oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga pengerusi Fowram," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri di Rumah Anak Yatim Bakip di Ipoh malam tadi.

Fowram itu yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dijangka dihadiri kesemua 711 wakil rakyat BN, demikian menurut laporan Bernama.

Selain forum, wakil rakyat BN dari Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri juga dijangka menghadiri Persidangan Kebangsaan Wakil Rakyat Malaysia di tempat yang sama.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, dengan penangguhan itu, semua wakil rakyat boleh meneruskan program atau aktiviti yang dirancang pada hari berkenaan kerana sebelum ini mereka telah diminta menangguhkan semua program untuk menghadiri Fowram.

Fowram merupakan acara pertama menghimpunkan kesemua wakil rakyat BN di bawah satu forum untuk bertukar-tukar fikiran bagi memperbaiki lagi peranan wakil rakyat BN.