Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selangor jamin tiada unsur songsang dalam penganjuran Sukma 2026
Diterbitkan:  Feb 20, 2025 2:51 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

DUN SELANGOR | Selangor memberi jaminan tiada sebarang unsur promosi atau normalisasi budaya songsang seperti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 nanti.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, berkata penetapan itu dibuat untuk memastikan sebarang budaya songsang tidak dinormalisasikan dan menular dalam kalangan masyarakat.

“Kerajaan negeri sedia maklum dengan isu yang berlaku mutakhir ini… antaranya membabitkan penganjuran acara muzik (lelaki berpakaian perempuan) dan insiden itu sangat kita kesali.

“Kita melihat ini mungkin sebagai sebahagian daripada usaha untuk menormalisasikan budaya kurang sihat, budaya songsang, dan untuk Sukma Selangor 2026 nanti, Selangor mengambil ketetapan dan menjamin tidak sebarang unsur promosi atau menormalisasikan budaya seperti LGBT,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Mohd Najwan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi (PH-Seri Serdang) yang ingin tahu tindakan yang akan dilakukan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor untuk memastikan perjalanan temasya tersebut tidak dicemari budaya songsang.

Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata kerjasama dan sokongan pelbagai agensi akan dilaksanakan dalam memastikan sebarang bentuk atau elemen berkaitan budaya LGBT dibanteras.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 17 Feb lalu berkata mereka akan mengambil tindakan segera susulan isu tular melibatkan lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita dalam sebuah program hiburan baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee menegaskan kejadian berkenaan mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat dan menyentuh sensitiviti Islam serta budaya negara.

Sementara itu Mohd Najwan berkata penganjuran Sukma 2026 melibatkan perbelanjaan anggaran keseluruhan RM250 juta, antara lain bagi kos pengurusan sekretariat, persediaan atlet, penyediaan teknikal peralatan kelengkapan pertandingan, perkampungan sukan, makan dan minum, sistem teknologi ICT, serta media dan promosi.

Katanya cabaran utama yang dikenal pasti dalam persiapan Selangor sebagai tuan rumah ialah ketiadaan lokasi utama untuk penganjuran berikutan fasa pertama Kompleks Sukan Shah Alam dijangka hanya siap pada pertengahan 2027.

“Di samping itu, tempoh persediaan yang sangat singkat - iaitu kurang dua tahun berbanding negeri-negeri tuan rumah sebelum ini, yang mempunyai tempoh masa panjang antara empat hingga enam tahun sebelum bertindak menjadi tuan rumah.

“Bagi mengatasi cabaran itu, venue pertandingan (sedia ada) telah dikenal pasti dan masih boleh digunakan bagi memastikan temasya berlangsung dengan jayanya.

"Semua venue pertandingan hanya akan dinaik taraf dan diperbaiki bagi memastikan ia mengikut standard yang telah ditetapkan,” katanya yang menjawab pertanyaan lisan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang ingin tahu berhubung cabaran persiapan Sukma 2026 yang dikenal pasti.

Pada 18 Julai 2024, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia mengesahkan Selangor menjadi tuan rumah bagi temasya Sukma 2026.

Ia selepas tawaran yang dibuat Selangor untuk menggantikan Majlis Sukan Negara (MSN) yang sepatutnya menjadi penganjur berdasarkan sistem giliran tuan rumah yang ditetapkan secara berselang-seli.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS