Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi veteran DAP tarik diri dari pemilihan parti
Diterbitkan:  Feb 21, 2025 9:00 AM
Dikemaskini: 2:14 AM

Selepas dua pemimpin veteran DAP menarik diri daripada pemilihan parti itu yang dijadualkan bulan depan, seorang lagi pemimpin veterannya mengikut jejak langkah yang sama.

Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata dia mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan ahli Eksekutif Pusat (CEC) DAP bagi memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu.

"Saya percaya sudah tiba masanya untuk saya mengambil langkah ke belakang dan membolehkan generasi muda memimpin sementara parti ini menyegarkan semula dirinya untuk menghadapi cabaran-cabaran negara yang semakin berubah.

"Ketika kita melangkah ke hadapan, saya dengan ikhlas berharap parti ini akan terus kekal setia kepada prinsip asas penubuhannya sambil merangka hala tuju baru dengan generasi muda memimpin, katanya dalam kenyataan media.

Kulasegaran, 67 yang juga seorang peguam berkata dia menyertai DAP kerana idealisme sosialis dan demokratiknya serta perjuangan pelbagai kaum untuk Malaysia yang adil dan inklusif.

"Ia merupakan satu penghormatan yang besar untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

"Sejak penubuhannya, DAP telah memperjuangkan hak rakyat Malaysia biasa, khususnya golongan pekerja dan hak asasi manusia secara keseluruhan.

“Parti ini mesti sentiasa kekal setia kepada asas sosialisnya, berjuang untuk kesaksamaan, keadilan, hak asasi manusia dan tadbir urus yang baik," katanya yang merupakan ahli parlimen Ipoh Barat sejak 1999.

Baru-baru ini dua pemimpin veteran DAP, Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun, mengumumkan menarik diri daripada pemilihan parti.

Tan dan Fong berkata mereka mengambil keputusan itu bagi memberi laluan kepada pelapis baru.

Tan ialah penasihat DAP merangkap ahli parlimen Cheras, manakala Fong ialah bendahari DAP dan juga ahli parlimen Bukit Bintang.

Sementara itu, Kulasegaran yang juga naib pengerusi kebangsaan DAP mengingatkan pemimpin muda agar tidak melupakan ahli-ahli parti yang berjasa kepada partinya.

"Saya masih ingat walaupun menghadapi kesulitan kewangan yang teruk, ramai ahli parti pada masa itu menggunakan wang mereka sendiri untuk menghadiri acara parti, membantu dalam pilihan raya, dan menyokong perjuangan kita, semata-mata dengan harapan untuk membina Malaysia yang lebih baik.

"Ahli-ahli yang berdedikasi ini masih bersama kita sehingga hari ini, dan kita mesti terus menghargai sumbangan mereka. Saya berharap mereka tidak akan dilupakan," katanya.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada veteran DAP Lim Kit Siang, Pengerusi parti itu, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung Anthony Loke dan semua rakan seperjuangan DAP atas sokongan yang tidak berbelah bahagi mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS