Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan S’gor tuntut tindakan tegas pada pencabul budak dalam masjid
Diterbitkan:  Feb 21, 2025 1:09 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Kerajaan negeri Selangor mahu tindakan tegas dikenakan terhadap pelaku yang terbabit dalam cubaan merogol kanak-kanak perempuan di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali, pagi tadi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah, berkata ia penting bagi memelihara masjid sebagai tempat selamat daripada jenayah.

"Saya telah memanjangkan laporan ini kepada ketua polis negeri Selangor untuk membuat siasatan daripada rakaman CCTV (kamera litar tertutup) serta gambar-gambar yang dibekalkan, dan sekiranya benar, agar tindakan segera terhadap pelaku ini diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

"Tindakan untuk menghasilkan persepsi bahawa masjid-masjid adalah tempat yang tidak selamat dan terdedah kepada perbuatan jenayah kepada masyarakat adalah suatu tindakan yang biadab dan tidak boleh diterima oleh umat Islam Selangor. 

"Saya menyeru para pengunjung masjid terus berwaspada dan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa sekiranya  wujud cubaan-cubaan sebegini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan seorang lelaki mencabul seorang murid sekolah perempuan dalam sebuah masjid di Batang Kali, Selangor pagi tadi.


Baca: Lelaki cabul budak perempuan sedang solat subuh di masjid


Lebih menyedihkan kejadian itu berlaku ketika budak itu sedang sujud ketika bersolat Subuh bersama orang ramai pagi tadi.

Menurut seorang anggota jawatankuasa masjid yang enggan namanya didedahkan, pelakunya telah ditangkap.

Malaysiakini telah menghubungi pihak polis dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Difahamkan kenyataan media berkaitan perkara itu akan dikeluarkan selepas ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS