Adun Skudai Marina Ibrahim berpendapat cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) perlu demi kepentingan orang ramai.

Menceritakan pengalaman selaku wakil rakyat, pemimpin DAP itu menjelaskan dia menghadapi kesukaran dalam menyelesaikan masalah pangsapuri awam di kawasannya.

"Aku nampak ni adalah jalan keluar bagi masalah dan isu di Skudai.

"Bagi kawasan banyak flat yang usang serta bermasalah seperti di Skudai, ia akan membantu. Pangsapuri awam ni bukan PPR, bukan bawah tanggungan kerajaan. Hampir 40 tahun wujud, terlalu uzur, ada yang tiada langsung badan pengurusan, kalau ada badan pengurusan pun hutang cecah juta pun ada," katanya dalam catatan Facebook, hari ini.

Penggubalan URA merupakan cadangan yang masih belum dibentangkan di parlimen, namun ia mendapat kritikan keras daripada pembangkang, khususnya PAS, yang mendakwa ia merupakan perancangan halus untuk mengusir golongan miskin bandar, khususnya Melayu dan India.

Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyifatkan akta itu sebagai ‘akta rampas tanah’ kerana membolehkan nilai ambang persetujuan untuk membangunkan sesuatu kawasan strata diturunkan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.

Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan akta itu tidak akan menyebabkan mana-mana kaum tersingkir, sebaliknya memberi nilai tambah kepada hartanah yang terlibat.

Undang-undang sedia ada tak memadai

Mengulas lanjut, Marina menegaskan undang-undang sedia ada tidak mampu menyelesaikan isu perumahan yang dihadapi.

"Jangan cakap, akta atau undang-undang sedia ada dah memadai atau cukup. Undang-undang sedia ada, tak mampu dah nak atasi masalah peninggalan 40 tahun lepas.

"Dalam sidang DUN berkali aku cerita sampai kering tekak isu nak rejuvenasi flat, nak bangun semula untuk rejuvenasi kawasan. Jelak agaknya orang nak layan persoalan aku yang berkali-kali. Tebalkan sahaja muka tuntut jawapan desak sana sini. Itu pun masih orang cakap kita mengangkang tak buat apa," katanya.

Marina turut memberi contoh keadaan pangsapuri awam yang usang dan menghadapi banyak masalah di kawasannya, seperti pangsapuri Tun Aminah.

"Kau jangan sentuh kawasan Skudai lain, tengok Tun Aminah itu sendiri ada 88 blok flat usang yang sangat daif. Kategori macam mana? Belakang itu tahi melantun jatuh dari saluran, sistem pendawaian elektrik dah teruk. Perpaipan dan pembentungan jangan cerita.

"Begitu banyak masalah, penduduk hanya tolak kepada kerajaan walau bukan tanggungjawab kerajaan. Tak ada elektrik akibat sistem pendawaian usang, yang sepatutnya tanggungjawab badan pengurusan, penduduk, kanak-kanak, orang tua berpanas (sehingga) tiga hari.

"Ikutkan aku, bukan tanggungjawab kerajaan akibat tak bayar pengurusan, aku boleh saja biarkan mereka macam tu sahaja. Tapi, tak sampai hati, akhirnya siapa yang tanggung? Kita juga cuba usaha," katanya lagi.