Tiada keterangan kukuh: Polis sahkan NFA kes dera budak autistik
Polis mengesahkan kes penderaan yang didakwa melibatkan seorang kanak-kanak autisme, berusia 6 tahun di Shah Alam telah diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut), atas alasan tiada keterangan yang kukuh.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim, keputusan itu dibuat oleh pejabat Penasihat Undang-undang Selangor selepas meneliti kertas siasatan polis.

“Pihak polis telah menerima laporan berkenaan kejadian ini pada 16 Januari lalu daripada ibu mangsa.
“Kejadian ini disedari oleh suami pengadu sehari sebelum itu semasa mahu memandikan mangsa dan telah melihat kesan kemerahan di bahagian belakang badan mangsa serta di bawah mata kanan mangsa.
“Pengadu juga menyedari yang mangsa tidak aktif dan kurang berinteraksi semasa beliau mengambilnya dari taska pada hari yang sama,” katanya.
Mohd Iqbal berkata, semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska itu tidak menampakkan kejadian mangsa dicederakan.
“Buat masa ni tak ada keterangan ntuk teruskan siasatan dan sekiranya terdapat bukti-bukti lain yg dikemukakan oleh mana-mana saksi, pihak polis bolehlah teruskan siasatan dan edar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut.
“Sebab itu, ami menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini supaya menghubungi polis,” katanya.
Kenyataan polis itu dibuat selepas bapa mangsa menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan berkenaan di media sosial.
Dalam catatan di Facebook malam tadi, Nazmi Zulkifli berkata dia telah mendiamkan diri mengenai kes itu untuk membolehkan siasatan, namun hanya untuk dimaklumkan bahawa kes itu telah diklasifikasikan sebagai NFA.
Dakwanya, terdapat laporan perubatan yang menyatakan kecederaan anaknya adalah akibat penderaan.
Menurut Nazmi, seorang guru mendakwa anaknya terjatuh ketika bermain gelongsor tetapi rakaman CCTV pada hari kejadian tidak menunjukkan sebarang tanda anaknya itu bermain di situ atau sesiapa pun yang terjatuh.
“Yg lebih malang, tiada CCTV di dalam kelas kerana dikatakan rosak dan sedang diselenggara,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/02/b4326c0442e815dc46ee3b51db15c11c.png)
