Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan beliau cepat pulih daripada pembedahan jantung yang dijalani bulan lalu.

"Kami berdua juga ingin menyampaikan penghargaan kepada semua yang telah menghantar ucapan selamat, yang telah mengadakan solat hajat serta majlis doa selamat untuk kesihatan saya," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri melalui blog anaknya, Datuk Paduka Marina.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keadaan kesihatan beliau bertambah baik berkat doa yang dipohon serta usaha yang dilakukan semua doktor pakar yang terlibat serta staf-staf perubatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Sehubungan itu, Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada yang beragama Islam.

"Saya minta maaf kerana pada tahun ini saya tidak dapat merayakan Aidilfitri bersama-sama dengan mengadakan rumah terbuka seperti biasa.

"Saya juga ingin meminta maaf kerana tidak dapat menerima pelawat sepanjang berada di Institut Jantung Negara atas nasihat doktor," katanya.

Selamat hari raya

Dr Mahathir dan Siti Hasmah turut merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada kesemua mereka yang telah berkorban masa dan tenaga sepanjang bulan Ramadhan untuk berusaha memulihkan kesihatannya.

"Tidak mungkin kami dapat membalas segala usaha ini. Namun saya dan isteri sentiasa berdoa agar semua yang dilakukan dibalas dengan keberkatan dan dirahmati Allah s.w.t. Sekali lagi saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin," katanya.

Mahathir, 81, menjalani pembedahan jantung kedua pada 4 September lalu. Beliau menjalani pembedahan pintasan jantung buat pertama kalinya di Hospital Kuala Lumpur pada 24 Januari 1989 akibat serangan jantung. Pada malam 22 September lalu, Dr Mahathir menjalani pembedahan membersihkan luka akibat jangkitan kuman.

Pada 8 Oktober lalu, Dr Mahathir telah dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi di Institut Jantung Negara (IJN) ke wad biasa selepas para doktor berpuashati dengan kemajuan keadaan kesihatan beliau. Beliau juga dilaporkan telah boleh berjalan tanpa dibantu.

Beliau akan meneruskan dengan rawatan pemulihan selepas pembedahan, termasuk eksesais menguatkan dada dan otot.

Dr Mahathir akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di IJN. Marina turut menyiarkan dalam blognya gambar terbaru Dr Mahathir dengan ditemani oleh Dr Siti Hasmah.

Dalam gambar-gambar tersebut, bekas Perdana Menteri itu yang memakai baju Melayu, kelihatan segar dan gembira.