Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jika Anwar terus 'ketimbang' dia tumbang, sindir Annuar
Diterbitkan:  Feb 25, 2025 1:20 PM
Dikemaskini: 5:29 AM

Bekas pemimpin kanan Umno yang kini bersama PAS, Annuar Musa, memberi peringatan bahawa tiada jaminan Anwar Ibrahim boleh bertahan sebagai perdana menteri selepas ini.

Kata Annuar, kedudukan Anwar sebagai pemimpin negara kini ditentukan oleh Umno sendiri dan prestasinya sebagai perdana menteri.

Mengulas pandangan diberikan bekas menteri, Nazri Aziz, .Annuar berkata memang Anwar layak terus menjadi perdana menteri untuk penggal akan datang tetapi ia tetap bersyarat.

"Yes PMX (Anwar) layak jadi perdana menteri ke-11 dengan syarat dia perform. Jika terus 'ketimbang' dia boleh tumbang," katanya menyindir.

Tambah Annuar sebaliknya jika Umno memilih untuk enggan terus memberi sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri, Ahli Parlimen Tambun itu tidak akan dapat meneruskan tugas tersebut.

"Dan saya juga yakin Umno masih berpeluang menamakan (calon sendiri sebagai )PM ke-11.

"Dalam Umno ramai yang layak. Begitu juga dalam PAS, Bersatu, GPS (Gabungan Parti Sarawak), ramai yang bukan saja layak, malah mungkin lebih baik daripada yang sebelumnya," tambah Annuar di Facebook.

Kelmarin Malaysiakini menyiarkan pandangan Nazri mengenai calon perdana menteri selepas PRU ke-16 dan kebimbangannya terhadap tiada tokoh lain yang dianggap sesuai sebagai pengganti.

Nazri Aziz

Nazri - yang baru saja menamatkan tugasnya sebagai duta di AS - berkata itu antara punca dia memberikan dukungan kepaa Anwar sebagai pemimpin negara.

"Cuba beritahu saya siapa (yang layak sebagai pengganti)?

"Ia akan menjadi bencana buat kita jika Anwar tidak menjadi perdana menteri untuk lima tahun lagi selepas 2026," katanya.

Menurut Annuar dia sependapat dengan Nazri bahawa ketika ini Umno sudah menjadi parti yang kecil dan tidak memiliki suara atau pengaruh seperti dulu.

Bagaimanapun, tambah Annuar, keadaan tersebut berlaku kerana Umno sendiri memilih untuk menjadi kecil apabila bersetuju bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan selepas PRU ke-15.

"Benar kata chief (Nazri) yang Umno itu kecil dan tiada suara.

"Tapi itu kehendak Umno (dengan) menjadikan PH khasnya DAP sebagai 'singa'.

"DAP kata pemimpin kanan Umno hanya 'lalat'. Ramai yang reda begitu, mereka kuat membela singa-singa," dakwa Annuar yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS