Menjelang bacaan kali kedua Rang Undang-undang Majlis Media 2024 di Dewan Rakyat esok, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata masih terdapat “kecacatan” dalam undang-undang itu.

Antara lain, dia berkata kemasukan dua wakil kerajaan dalam lembaga yang terdiri daripada 21 anggota majlis itu akan menjejaskan usaha untuk menubuhkan majlis itu sebagai badan kawal selia kendiri untuk industri media.

"Sebagai sebuah badan yang bertujuan untuk kawal selia kendiri, ahli-ahli majlis seharusnya terdiri daripada mereka yang mewakili industri media dan pengamal media sahaja.

"Kehadiran dua orang wakil kerajaan hanya akan menghilangkan keabsahan majlis sebagai badan kawal selia kendiri, tambahan lagi jika mereka adalah wakil kerajaan ini yang terkenal dengan sikap kuku besi terhadap kebebasan media," kata Wan Saiful yang mengetuai portfolio komunikasi Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan hari ini.

Isu lain yang dibangkitkan ialah pembiayaan untuk majlis itu.

Wan Saiful berkata rang undang-undang itu tidak menjamin kerajaan tidak boleh menggunakan dana untuk majlis itu bagi menghalangnya daripada melaksanakan peranannya.

“RUU ini tidak memberi jaminan tersebut, dan wujud risiko bahawa pendanaan akan dijadikan senjata untuk menghilangkan taring Majlis Media jika majlis mengambil pendirian yang berbeza dengan kerajaan," katanya.

Dia juga melahirkan kebimbangan bahawa kumpulan masyarakat sivil telah mengkritik RUU itu, tetapi tidak ada tanda-tanda kerajaan mendengar.

"Selagi mana suara rakyat tidak didengar, agenda ini hanyalah perhiasan yang tidak akan menghasilkan maksud reformasi institusi yang sebenar," katanya.

Rang undang-undang itu telah diluluskan bacaan pertama daripada tiga bacaan di Dewan Rakyat pada 12 Dis tahun lepas.

Kumpulan masyarakat sivil dan industri media telah lama melobi agar majlis media mengawal selia industri itu, dengan peraturan sendiri menggantikan undang-undang media yang menindas seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Di bawah Rang Undang-undang Majlis Media, majlis itu akan menetapkan piawaian dan kod kelakuan untuk semua pengamal media, mengawal etika dan kelakuan profesional mereka, dan mengesyorkan pembaharuan kepada undang-undang yang berkaitan dengan kebebasan media.

Ia juga akan menubuhkan Dana Majlis Media Malaysia untuk menerima wang bagi menggalakkan kesedaran dan menyediakan pendidikan tentang industri media, tetapi dilarang daripada menerima dana asing kecuali dengan kelulusan menteri komunikasi.