Kapten feri nafi tidak selamatkan penumpang
"Mana boleh kami terjun, kami sedar tanggungjawab kami. Kalau kami tinggalkan feri sudah tentu ramai mangsa yang gagal diselamatkan," kata Kapten feri "Seagull Express 2" yang terbakar Sabtu lalu.
"Mana boleh kami terjun, kami sedar tanggungjawab kami. Kalau kami tinggalkan feri sudah tentu ramai mangsa yang gagal diselamatkan," kata Kapten feri "Seagull Express 2" yang terbakar Sabtu lalu.
Wan Fahrorozi Wan Naman, 34, menafikan menafikan dakwaan penumpang bahawa beliau bersama dua krew bertindak terjun menyelamatkan diri dan tidak berusaha menyelamatkan penumpang ketika feri itu terbakar.
Katanya, bersama dua krew yang lain, Abi Mustapha dan Mohd Fazli Mohamad, kedua-duanya dalam lingkungan usia 30-an sebaliknya bertindak cuba memadamkan api selepas menyedari berlaku kebakaran, demikian menurut laporan Bernama.
"Sebenarnya, saya sendiri terus mengambil alat pemadam api selepas menyedari berlaku kebakaran dan pada masa yang sama menjerit memberi amaran kepada
penumpang dan melemparkan jaket keselamatan," katanya kepada pemberita di
Jeti Mersing semalam.
Wan Fahrorozi berkata, beliau juga sempat menghubungi kapten Feri Jentayu yang berada dalam kedudukan 15 minit dari "Seagull Express 2" untuk mendapatkan bantuan kecemasan sebelum bertindak memecahkan cermin tingkap feri selepas menyedari asap memenuhi ruang kabin feri.
"Saya dan dua krew adalah orang terakhir untuk meninggalkan feri sebelum diselamatkan feri Jentayu. Saya juga cuba membuka bot kecemasan (life craft), bagaimanapun tidak sempat kerana api sudah merebak," katanya.
Wan Fahrorozi berkata, dia sendiri mengalami luka dan melecur di kedua-dua tapak tangan dan kejadian berkenaan merupakan pengalaman pertama dialaminya sejak menjadi kapten 15 tahun lalu.
'Bot kecemasan'
"Kejadian ini bagaimanapun tidak melemahkan semangat saya untuk meneruskan pekerjaan ini. Cuma saya akan lebih berhati-hati di masa depan," katanya.
Sementara itu, Kapten Feri Jentayu Express Faizal Akhbar, 23, berkata beliau yang menerima panggilan kecemasan dari feri "Seagull Express 2" terus bertindak menghubungi Pusat Kawalan di Jeti Mersing bagi meminta bantuan sebelum menyelamatkan mangsa-mangsa.
"Saya terus membuka bot kecemasan dan bot itu mampu memuatkan kira-kira 30 mangsa sebelum mereka dinaikkan ke Jentayu," katanya.
Dalam kejadian itu feri Seagull Express 2 yang membawa 106 orang, termasuk anak kapal, terbakar kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Tioman, berdekatan dengan Pulau Tokong Bahara, pada pukul 12.30 tengah hari Hari Raya pertama.
Mereka yang maut ialah Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur, Hong See Tiew, 53, dan Teh Siew Lian, 52, kedua-duanya dari Klang dan Tee Moi@Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.
Manakala mangsa yang cedera pula ialah Ngow Lee Ling dari Batu Pahat, Lee Zsi Winn dari Johor Baharu dan Yong Sait Yoon dari Kuala Lumpur.
Operasi mencari diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa iaitu Choong Yoong Kim, 43, Wong Soong Leng, 37, kedua-duanya dari Petaling Jaya dan seorang penyelia kilang dari Klang, Wong Hann Wen, 29 yang hilang dalam kejadian itu.

