Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Gong Xi Raya 'Tahun Babi' 2031, bersediakah kita?

ULASAN | Raya Cina telah berlalu, dan kini Ramadan bakal menjelma.

Pusat beli belah akan bersalin hiasan dari merah menyala kepada hijau rimbun.

Kemeriahan menyambut dua perayaan besar sebagai rakyat Malaysia bakal menjadi lebih gempar dalam tahun-tahun akan datang apabila jurang tarikh Aidilfitri dan Tahun Baru Cina makin dekat.

Apatah lagi kita bakal menyambut Gong Xi Raya selama tiga tahun dari 2029 hingga 2031.

Ia patut menjadi sambutan yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia, khususnya kaum Cina dan umat Islam.

Hiasan di pusat beli belah, reka grafik, dan mungkin juga fesyen tiga tahun itu pasti meriah, mengharmonikan warna merah dan hijau.

Namun, realitinya tidak seindah itu. Malah, Gong Xi Raya yang bakal datang ini mempunyai risiko mencetuskan konflik yang mengguris hati kedua-dua pihak.

Ia akan bermula tahun 2030, apabila zodiak kalendar Cina pada tahun itu adalah anjing.

Situasi bakal lebih teruk pada 2031, iaitu tahun babi.

Sudah pasti golongan-golongan tertentu akan marah jika hiasan anjing atau babi itu diletak sekali atau terlalu dekat dengan hiasan untuk Ramadan dan Aidilfitri.

Sebelah pihak pula akan terguris hati terpaksa menyorok budaya mereka.

Memang sudah jadi amalan biasa di Malaysia, zodiak babi itu tidak bergambar, dan hanya menggunakan simbol 豬 (babi).

Tetapi tidak mustahil penggunaan simbol itu dalam hiasan Gong Xi Raya juga boleh timbulkan amarah.

Jadi apakah kita sebagai satu negara majmuk yang cintakan harmoni dan kepelbagaian patut buat?

Walaupun 2030 dan 2031 terasa jauh dari sekarang, kita mesti ambil peluang ini untuk bermusyawarah antara kaum dan agama, supaya cari penyelesaian menang-menang bagi semua,

Musyawarah ini patut melibatkan golongan berkepentingan, seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan persatuan-persatuan budaya Cina, serta pakar-pakar yang membuat hiasan di pusat beli belah.

Jika perlu, libatkan sekali ahli politik, termasuk menteri agama dan menteri perpaduan, bahkan ahli parti MCA, DAP, PAS, dan Umno.

Janganlah tunggu saat akhir baru nak terhegeh-hegeh cari jalan tengah, atau lebih teruk, lalai sehingga berlakunya pertembungan perasaan.

Sebagai seorang suami kepada isteri berbangsa Cina, dan bapa kepada anak harmoni, saya tidak mahu melihat 2030 dan 2031 itu menjadi tahun umat Islam dan kaum Cina regang ketika musim perayaan.

Ayuh, marilah kita ambil langkah-langkah permulaan untuk mengelakkan musibah.


ZIKRI KAMARULZAMAN merupakan ahli sidang redaksi Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya menerminkan pendirian organisasi ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS