Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Amirudin sah pertahan naib presiden PKR
Diterbitkan:  Mar 1, 2025 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengesahkan akan mempertahankan jawatan naib presiden PKR pada pemilihan parti itu yang dijadualkan pada Mei depan.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi bahawa pengerusi PKR Selangor itu akan mencabar jawatan timbalan presiden yang kini disandang Rafizi Ramli.

Berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita, AMK negeri Selangor semalam, Amiruddin berkata sesiapa sahaja berhak untuk bertanding jawatan berkenaan.

"Siapa nak bertanding, bertandinglah, siapa nak tawar diri, tawarlah. Tapi jaga batas, jaga sikap dan jaga bahasa Ramadan ini.

"Sebab itu saya berpendirian bahawa kita harus terus menyusun kekuatan demi untuk pastikan Selangor jitu.

"Kalau Selangor ada bukti kita jitu dan padu, insya Allah negeri lain juga jitu dan padu," katanya.

Turut hadir, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Rafizi, Ketua pemuda PKR, Adam Adli dan Ketua Wanita Fadhlina Sidek.

Kelmarin Amirudin berkata pada dasarnya dia lebih suka untuk mempertahankan kerusi naib presiden yang dimenanginya sebelum ini.

Pun begitu, katanya, dia perlu memberi pertimbangan kepada kemungkinan bertanding jawatan lebih tinggi selepas ada faktor lain yang muncul.

Sebelum ini pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR mungkin tidak dipertandingkan berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman.

Anwar yang menyandang jawatan presiden PKR bagi penggal ketiga dan terakhir berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada PKR untuk membuat keputusan.

Pemilihan majlis pimpinan pusat, majlis pimpinan wanita pusat dan majlis pimpinan pemuda pusat akan diadakan pada 24 Mei ini.

Undian bagi jawatan di peringkat ranting dijadualkan dari 11 hingga 20 April.

Dalam pada itu Amirudin berkata parti itu memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Anwar untuk terus mempertahankan jawatan presiden PKR.

"Untuk ke arah itu jangan kita nak api-apikan.

"Jadi cukuplah, jelas insya-Allah, saya yakin perdana menteri harus dapat sokongan terus daripada Rafizi selaku Timbalan Presiden dan saya akan terus berdiri selaku Naib Presiden kerana kita kena jadi satu suara yang kuat dan padu untuk maju ke depan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS