MIC hari ini menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Radio Era FM yang bernaung di bawah Astro selepas beberapa kakitangannya disifatkan mengejek tarian kavadi Hindu.
Insiden itu dirakam dalam video TikTok yang dikatakan dimuat naik ke akaun stesen radio itu. Klip asal tidak lagi tersedia tetapi salinannya tular di media sosial.
Timbalan Presiden MIC M Saravanan dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan itu "tidak berotak" dan meminta Radio Era FM mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.
"Ini bukan sekadar kebodohan—ia adalah penghinaan terang-terangan terhadap kepercayaan dan tradisi penganut Hindu di Malaysia. Tindakan bodoh dan rasa tidak hormat yang menjijikkan itu tidak ada tempat dalam masyarakat kita.
“Era FM, sebagai organisasi media, sepatutnya tidak membenarkan perkara mengarut yang menyinggung perasaan ini.
"Kakitangan mereka telah membuktikan diri mereka tidak layak untuk bekerja dalam industri media jika mereka tidak mempunyai pemahaman yang paling asas tentang sensitiviti agama dan budaya. Ini bukan jenaka tetapi tindakan mengejek yang amat menyinggung perasaan masyarakat Hindu," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Tapah itu, tindakan menghina agama itu juga mengancam perpaduan negara dan boleh menjadi contoh yang berbahaya.
Tegasnya, individu terbabit perlu bertanggungjawab dan kerajaan juga perlu bertindak terhadap stesen radio berkenaan.
“Saya menuntut kerajaan mengambil tindakan segera dan tegas terhadap Era FM atas perlakuan keterlaluan ini.
"Sekurang-kurangnya, ERA FM mesti mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Hindu, dan individu yang bertanggungjawab mesti menghadapi akibatnya," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Astro Radio untuk maklum balas segera mereka. Difahamkan bahawa pengurusan tertinggi Astro Radio sedang mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara itu pagi ini dan masih belum mengeluarkan kenyataan.
Menurut salinan klip video itu, pengacara Era FM yang dikenali sebagai Pak Azad dilihat menari dengan nyanyian "vel vel" oleh beberapa kakitangan lain sebelum dia ketawa.
