Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno tiada kaitan kes Ismail Sabri, wang tunai dan jongkong emas'
Diterbitkan:  Mar 6, 2025 2:04 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Umno dilihat menjarakkan diri daripada siasatan kes rasuah membabitkan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno memandang serius cubaan mengaitkan parti itu dengan penemuan wang tunai dan jongkong emas di rumah individu tertentu yang dikaitkan dengan Ismail.

"Umno menegaskan bahawa parti ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan tersebut dan berpendirian bahawa SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil tanpa sebarang gangguan.

"Umno juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Asyraf tidak menamakan mana-mana pihak yang didakwa cuba mengaitkan Umno dengan kes tersebut.

RM170 juta wang tunai dirampas

Ismail dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya esok berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan perbelanjaan serta perolehan dana bagi kempen promosi Keluarga Malaysia ketika pentadbirannya.

Ini susulan serbuan SPRM terhadap premis yang dikaitkan dengan beberapa pegawai Ismail, di mana kira-kira RM170 juta wang tunai dirampas dan 16kg jongkong emas dirampas.

Setakat ini, SPRM telah merekodkan keterangan daripada 31 individu dan membekukan 13 akaun bank berjumlah sekitar RM2 juta.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa siasatan terhadap Ismail bermotifkan politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS