Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kenapa reaksi kes Harith Iskander, deejay Era berbeza

ULASAN | Begitulah naratif yang dimainkan kononnya kerajaan bersikap dwistandard. Apabila Islam dihina kerajaan dituduh lambat mengambil tindakan.

Apabila Hindu dihina cepat saja kita pergi meminta maaf dan hantar notis untuk tarik balik lesen penyiaran stesen radio Era FM. Ketika kontroversi KK Super Mart (KK Mart) terkait isu stoking, tidak pula ditarik balik lesen syarikat itu.

Tanggapan itu adalah tidak benar. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan undang-undang mesti dilaksanakan secara saksama dan tidak mendiskriminasi.

Dalam kes menghina agama ini, pelbagai undang-undang terlibat. Setiap undang-undang itu pula ada bidang kuasa masing-masing walaupun subjek undang-undang itu sama iaitu menghina agama.

Dalam kes KK Mart misalnya, mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Kesalahan itu melihatkan perbuatan dengan sengaja ingin melukakan perasaan keagamaan mana-mana orang. Jumlah denda pun tidak disebut dalam seksyen berkenaan.

Berbanding dengan radio Era FM yang beroperasi dengan lesen oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Maka selain kuasa untuk menyiasat di bawah Seksyen 233 Akta MCMC iaitu menyiarkan perkara yang jelik, agensi itu juga mempunyai kuasa ke atas lesen.

Dalam kes KK Mart, mana ada lesen penyiaran. Mereka hanya perlu daftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kemudian terus boleh berniaga.

Naik 10 kali ganda

Bagi premis pula, ada lesen yang terletak dalam bidang kuasa majlis perbandaran atau dewan bandaraya (pihak berkuasa tempatan).

Timbul pula isu MCMC mengenakan denda RM10,000 kepada Harith Iskander Musa dan Cecilia Yap. Berbetulan sungguh dengan kes deejay Era FM itu. Justeru orang nampak kes Harith Iskander seperti lambat benar untuk diambil tindakan berbanding kes deejay Era FM.

Sebenarnya kes Harith Iskander berlaku pada 18 Jan lalu dan MCMC mengeluarkan kenyataan berkenaan kompaun pada 5 Mac. Tempoh masa yang diambil itu tidak sampai pun dua bulan.

Kes deejay Era FM ini pula baru dua tiga hari berlaku. Tunggulah lagi dua hingga tiga bulan lagi barulah kita boleh tahu berapa denda yang akan dikenakan.

MCMC pula telah menyatakan, kes Harith Iskander didenda mengikut peruntukan akta lama yang belum dipinda sebab semasa hantaran berkenaan dimuat naik oleh pelawak tersebut, seksyen berkaitan belum dipinda.

Sebelum pindaan, denda maksimum ialah RM50,000 tetapi selepas pindaan ia dinaikkan menjadi 10 kali ganda iaitu RM500,000.

Nanti adalah yang tidak puas hati jika deejay Era FM didenda lebih tinggi berbanding Harith Iskander. Jumlah kompaun RM10,000 itu bersamaan dengan 20 peratus daripada jumlah denda RM50,000.

Jadi kemungkinan nanti deejay Era berkenaan akan didenda RM100,000 jika melihat kepada denda maksimum yang dibenarkan ialah RM500,000.

Jika dibandingkan di antara kes Harith Iskander dan Yap, faktanya berbeza dengan isu penyampai deejay Era FM. Bagaimanapun ada orang - termasuklah yang dikatakan cerdik pandai agama - nampaknya keliru.

Video lebih mudah disiasat

Kes Harith Iskander itu melibatkan tulisan (hantaran) di Facebook. Semua orang kenal Harith Iskander tetapi kita sampai sekarang sukar nak cari muka Yap.

Di situ pun sudah memerlukan ambil untuk disiasat.

Dalam kes Harith Iskander juga, hal tersebut tular dan dia tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Ini tindakan yang bagus dari segi perundangan kerana apa-apa kenyataan berikutnya mungkin memakan diri sendiri.

Cuba bandingkan dengan kes deejay Era FM. Tidak sampai sehari berita itu tular, keluar pula video dan tulisan mereka meminta maaf.

Tidak cukup dengan itu, mereka bertiga pergi pula berjumpa seorang pengerusi NGO Hindu di Batu Caves untuk meminta maaf.

Pengerusi NGO itu pula cakap mereka boleh minta maaf tetapi masih mahu tindakan undang-undang diteruskan. Maka, ada golongan cerdik pandai yang trigger dengan kenyataan seperti itu.

Sebenarnya permohonan maaf tidak membersihkan diri seseorang daripada perbuatan jenayah. Cuma, mungkinlah permohonan maaf itu akan mengurangkan atau memitigasi denda yang akan dikenakan.

Maka jika dibandingkan, proses siasatan ke atas Harith Iskander itu lebih rumit dan memakan masa kerana dia membuatnya dalam bentuk tulisan dan tidak membuat apa-apa komen susulan.

Dalam kes deejay Era FM pula, mereka membuatnya dalam bentuk video. Cara video ini lebih mudah disiasat kerana di situ sudah terpapar niat mereka.

Tambahan pula dengan tindakan mereka meminta maaf dan pergi berjumpa pengerusi NGO Hindu itu memang memburukkan lagi keadaan. Sebab itulah proses siasatan pihak berkuasa akan menjadi lebih mudah kelak.

Ini yang diputar oleh netizen dan menuding jari kepada kerajaan kerana kononnya jika Islam dihina tindakan lambat diambil kerajaan. Sebaliknya, dakwa mereka, jika agama lain dihina, cepat saja tindakan diambil.

Tambahan pula dibuat clickbait seperti "Umat Islam sedang bersabar menyaksikan bagaimana urusan agama Islam tidak diurus dengan adil"

Ungkapan umpan seperti itu pun sudah mendapat 13,000 perkongsian. Pihak yang berkongsi bahan itu pula bukanlah sebarangan. Ramai cerdik pandai agama yang kita kenal berkongsi clickbait sampah seperti itu.

Menteri kerja pelan-pelan

Mudah benar orang membuat kesimpulan pada zaman ini. Malah, cerdik pandai agama pun boleh terpedaya dengan clickbait yang mengajak kepada permusuhan.

Mudah sungguh syaitan menghiasi sesuatu amalan buruk menjadi kelihatan baik.

Jentera penerangan kerajaan pula seakan-akan tidak berupaya untuk menangkis dan memberikan pencerahan sebenar.

Sepatutnya jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, patut membuat siaran video lepas Tarawih malam tadi lagi untuk memberikan rasa aman dan tenang orang ramai.

Tetapi Fahmi ini buat seperti tiada apa-apa yang berlaku, dan begitulah cara dia bekerja selama ini. Slow-slow dan pelan-pelan.

Fahmi boleh saja gunakanlah segala sumber AI (kecerdasan buatan) atau apa-apa teknologi yang ada sekarang untuk membantu dia lebih cergas dan bertenaga.

Apa pun bagi kita umat Islam yang sedang berpuasa ini sepatutnya bersederhana kerana bersederhana itulah yang terbaik. Bersederhanalah dalam menerima apa-apa maklumat.

Fikir betul-betul. Jangan tohmah sembarangan dan kemudian sebar pula tohmahan itu.

Memang tepat apa yang diriwayatkan dari internet: "Fitnah itu dimulakan oleh si pembenci, dipanjangkan oleh si daif dan diterima bulat-bulat oleh si bodoh".

Rasulullah SAW juga pernah bersabda (bermaksud): Ketenangan datangnya daripada Allah, sedangkan tergesa-gesa datangnya daripada syaitan.”


ZULQARNAIN LUKMAN ialah pengarah Biro Undang-undang Amanah (Kanun).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS