Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Ayer Kuning pada 26 April, penamaan calon 12 April

Pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Ayer Kuning di Perak ditetapkan pada 26 April ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ramlan Harun.

Pada sidang media di Putrajaya, dia juga memaklumkan bahawa tarikh penamaan calon adalah pada 12 April, manakala, pengundian awal dijadualkan pada 22 April.

"Daftar pemilih pilihan raya bagi PRK DUN Ayer Kuning mengandungi 31,897 pemilih. PRK DUN Ayer Kuning memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas PRK berkenaan.

Kerusi Ayer Kuning kosong susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, yang mewakili BN meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU ke-15 lalu, ketua Umno Bahagian Tapah itu menang kerusi Ayer Kuning dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.

Dia mengatasi pencabarnya daripada Amanah Dr Mohd Nazri Hashim yang mendapat 6,875 undi manakala calon PAS Muhammad Noor Farid, mendapat 6,812 undi. Dua lagi calon iaitu Bawani KS (PSM) mendapat 586 undi dan dan Maziah Salim (Pejuang).cuma meraih 105 undi.

Kerusi DUN Ayer Kuning adalah kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu.

Sementara itu, Bernama memetik Ramlan sebagai berkata bagi menjalankan proses PRK Ayer Kuning, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu tiga penolong.

Katanya,bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan satu pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon yang bertanding.

Beliau berkata Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang akan digunakan adalah di Dewan Merdeka Tapah, Perak dengan 601 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK berkenaan.

"Sebanyak 19 pusat mengundi biasa yang mengandungi 63 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan,” katanya.

Menurut Ramlan, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 12 April hingga 11.59 malam, 25 April manakala urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK terbabit dibuka mulai hari ini secara dalam talian.

Tarikh tutup permohonan pula adalah pada 9 April bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media) dan masing-masing pada 20 Mac bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori 1C (agensi/organisasi).

Ramlan berkata para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan dalam portal semakan melalui pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi talian Hotline SPR 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Semakan maklumat pengundian akan dibuka pada 25 Mac ini.

Beliau berkata bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK DUN Ayer Kuning agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak sebelum hari penamaan calon.

Selain itu, beliau berkata bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Bagaimanapun, katanya kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon, penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di PPC yang telah ditetapkan oleh SPR.

Ramlan berkata SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRK DUN Ayer Kuning bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat pelantìkan yang telah ditetapkan," katanya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan untuk pemerhati boleh diperoleh daripada portal SPR www.spr.gov.my bermula pada hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 17 Mac ini.

Ramlan berkata SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses pilihan raya menerusi penstriman langsung bagi pusat atau saluran mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR.

Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing, beliau berkata SPR akan melaksanakan kempen "Jom Kita Undi" melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi strategik tumpuan awam dan tempat lain yang bersesuaian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS