Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Peter Anthony akan ambil alih jawatan presiden parti
Diterbitkan:  Mar 8, 2025 7:00 AM
Dikemaskini: 11:00 PM

Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat Priscella Peter dilaporkan akan mengambil alih peranan presiden parti menggantikan bapanya Peter Anthony yang menjalani hukuman penjara.

Menurut laporan media, dia akan dibantu oleh seorang lagi timbalan presiden Wetrom Bahanda.

Cadangan itu dilaporkan dibuat oleh Wetrom dan dipersetujui sebulat suara semasa mesyuarat majlis tertinggi di ibu pejabat parti itu di Penampang hari ini.

“Keputusan itu dibuat dengan persetujuan penuh daripada semua ahli. Kami telah mengambil langkah untuk bersiap sedia untuk sebarang perkembangan, termasuk perkara yang berkaitan dengan kes presiden.

“Wetrom menyokong penuh keputusan ini. Malah, dialah yang mencadangkannya,” kata Setiausaha Agung KDM, Willie Jude seperti dilapor Free Malaysia Today.

Dia dilaporkan menambah bahawa mesyuarat itu juga memutuskan bahawa parti itu akan mengekalkan pendiriannya untuk bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah akan datang tanpa sekutu luar.

Parti itu kini sehaluan dengan gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah di Dewan Undangan Negeri tetapi bukan ahli gabungan itu.

Wetrom, Adun Bandau, adalah satu-satunya wakil rakyat parti itu, selain Peter.

Pada hari Selasa, Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhir Peter untuk mengetepikan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 bagi pemalsuan dokumen dan memerintahkan dia mula menjalani hukumannya serta-merta.

Hukuman itu bermakna Adun Melalap itu bakal kehilangan kerusi dan tidak layak bertanding pada pilihan raya negeri Sabah tahun ini.

Speaker Sabah Kadzim M Yahya berkata Peter mempunyai 14 hari untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang selanjutnya sebelum kerusinya dikosongkan secara automatik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS