Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siapa untung dari dasar caruman 2 peratus pekerja asing, tanya MCA
Diterbitkan:  Mar 10, 2025 9:30 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

MCA hari ini tampil mempersoalkan langkah kerajaan untuk mengenakan syarat pekerja asing di negara ini mencarum dua peratus ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Naib presidennya Lawrence Low berkata inisiatif itu memerlukan jaminan dan langkah efektif bagi memastikan ia menjadi dasar yang membantu meningkatkan ekonomi negara.

Menurutnya, antara persoalan pokok daripada langkah itu ialah sama ada impak dua peratus itu akan diserap untuk ditanggung oleh rakyat selaku pengguna akhir menerusi kenaikan harga barang atau sebaliknya.

“Dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang, adakah majikan mempunyai pilihan lain?

"Barangan yang mahal bukan sahaja membebankan pengguna tetapi juga melemahkan daya saing barangan dan majikan, sekali gus menjejaskan perniagaan serta industri tempatan, termasuk pekerja tempatan.

“Malah, mereka yang tidak dapat menyerap mahupun memindahkan kos mungkin terpaksa mengambil jalan mudah dengan menggaji pekerja asing tanpa izin (Pati), sekali gus memburukkan lagi masalah lambakan pekerja asing tanpa dokumen sah di negara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 3 Feb lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kabinet bersetuju untuk menetapkan kadar dua peratus caruman KWSP bagi pekerja asing.

Anwar berkata ia lebih rendah berbanding cadangan asal iaitu pada kadar 12 peratus.

Low turut mengingatkan kerajaan bahawa dasar itu pernah dilaksanakan di Singapura namun ia dihentikan secara rasmi pada tahun lalu.

Memetik laporan media. Low berkata, Central Provident Fund Singapura (badan yang sama seperti KWSP di Malaysia) menutup akaun 300,000 pekerja asing mereka secara automatik bermula April 2024.

“Ini membuktikan Singapura sedar baik buruk dasar tersebut dan komited memberi tumpuan serta memberi manfaat kepada rakyatnya, bukan warga asing.

“Adakah Malaysia mengambil langkah ke belakang apabila melaksanakan dasar yang tidak lagi dilaksanakan oleh negara lain?

"Adakah nanti pekerja asing di Malaysia kini dapat menikmati dividen sama seperti rakyat Malaysia?” katanya.

Selain itu Low turut mempertikaikan langkah itu kerana mungkin bertindih dengan Skim Persaraan Swasta sedia ada.

“Persoalan ini memerlukan jawapan yang meyakinkan,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana MCA.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS