Pemandu RapidKL dibuang kerana mahu tubuh kesatuan?
Kesatuan Pekerja Pengangkutan (TWU) tidak terbabit dengan usaha pemandu Syarikat Pengangkutan Intergrasi Deras Sdn Bhd (Rapid KL) untuk menubuhkan kesatuan sekerja yang dikatakan menjadi salah satu sebab pemberhentian 62 pemandu awal September lalu.
Kesatuan Pekerja Pengangkutan (TWU) tidak terbabit dengan usaha pemandu Syarikat Pengangkutan Intergrasi Deras Sdn Bhd (Rapid KL) untuk menubuhkan kesatuan sekerja yang dikatakan menjadi salah satu sebab pemberhentian 62 pemandu awal September lalu.
Setiausaha Agung TWU, Datuk Zainal Rampak berkata, pihaknya hanya menerima ahli gabungan setelah kesatuan sekerja terbabit diluluskan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan.
"Kita (TWU) tidak terbabit dan tidak masuk campur dengan usaha penubuhan kesatuan pekerja pengangkutan di syarikat tersebut," katanya yang juga bekas presiden Kongres Kestauan Sekerja Malaysia (MTUC) ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa pemandu terbabit diberhentikan kerana cuba menubuhkan kesatuan pekerja sendiri bagi menjaga kepentingan mereka.
Awal November lalu, Rapid KL telah memberhentikan 62 pemandu bas dari 11 depot di ibu negara dan Selangor.
Berikutan itu, pada 30 September lalu, 20 pemandu terbabit terbabit telah memfailkan aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan.
Beri pembelaan
Wakil pemandu, Idris Hashim berkata, beliau dan rakan-rakannya terpaksa membawa kes itu ke jabatan berkenaan demi menuntut hak.
Zainal berkata, pemandu terbabit mahu menubuhkan kesatuan sekerja sendiri untuk menjaga kepentingan mereka di syarikat tersebut.
TWU, katanya hanya memberi perlindungan dan pembelaan kepada pekerja yang menjadi ahli dengan gabungan tersebut.
"Daripada 62 pemandu yang diberhentikan itu, hanya sebahagian yang menjadi ahli TWU. Saya meminta mereka yang belum menyertai TWU, supaya berbuat demikian untuk memudahkan mereka mendapat pembelaan.
"Bagaimanapun, sebahagian yang tidak menjadi ahli, telah datang menemui pegawai kami untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Zainal berkata, pihaknya telah menemui dan berbincang dengan pengurusan Rapid KL mengenai perkara tersebut.
Malaysiakini , bagaimanapun, gagal menghubungi pengurusan Rapid KL semalam untuk mendapatkan perkembangan terbaru mengenai perkara tersebut.

