Perkhidmatan Ahmad Fairuz dilanjutkan dua bulan lagi?
Perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang tamat hujung bulan ini, dijangka disambung beberapa bulan lagi.
Perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang tamat hujung bulan ini, dijangka disambung beberapa bulan lagi.
Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan bahawa perkhidmatan Ahmad Fairuz akan hanya disambung selama dua hingga tiga bulan.
Ia menjadi perhatian ekoran isu klip video perbualan peguam kanan, Datuk VK Lingam, didakwa dengan Ahmad Fairuz pada tahun 2000, mengenai pelantikan hakim-hakim 'yang sehaluan'.
Dilaporkan bahawa Ahmad Fairuz telah mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk melanjutkan perkhidmatannya selama enam bulan lagi.
Bagaimanapun, sehingga ini, tiada sebarang jawapan rasmi terhadap permohonan tersebut.
Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa hakim Mahkamah Persekutuan memegang jawatan tersebut sehingga mencapai umur 66 tahun dan boleh dilanjutkan selama enam bulan lagi atas perkenan Seri Paduka.
Majlis Raja-Raja Melayu, yang mengesahkan pelantikan dan kenaikan pangkat para hakim, akan bermesyuarat selama dua hari pada 31 Oktober ini, yang secara kebetulan pada hari terakhir perkhidmatan Ahmad Fairuz.
Ahmad Fairuz yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2003, akan mencapai usia 66 tahun pada 1 November depan.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah - yang merupakan sultan yang paling senior dan paling berpengaruh - dikatakan "memandang berat" pelanjutan perkhidmatan Ahmad Fairuz itu.
Manakala pejabat Ketua Hakim Negara, ketika dihubungi pagi ini, berkata mereka tidak tahu mengenai lanjutan perkhidmatan tersebut.
Ahmad Fairuz tidak dapat dihubungi kerana beliau masih lagi bercuti.
'Isi segera'
Menteri yang menjaga hal-ehwal perundangan, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz, ketika ditemubual
Malaysiakini
minggu lalu, menafikan spekulasi bahawa perkhidmatan Ahmad Fairuz akan dilanjutkan.
Beliau bagaimanapun mahu jawatan tersebut diisi segera sekiranya berlaku kekosongan hujung bulan ini.
Ekoran pendedahan klip video Lingam itu, Majlis Peguam telah menggesa Ahmad Fairuz supaya menarik balik permohonannya untuk melanjutkan perkhidmatannya.
Sebelum ini, kira-kira 2,000 telah mengadakan perarakan sejauh 3.5km untuk menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat isu-isu dalam klip video tersebut.
Kerajaan bagaimanapun, hanya menubuhkan sebuah panel bebas tiga anggota untuk menyiasat kesahihan klip video tersebut. Panel itu, bagaimanapun tidak berkuasa untuk memaksa para saksi tampil kehadapan. Berita asal.

