Cuepacs minta saguhati RM2,000, ganti bonus
Walaupun baru menikmati kenaikan gaji sehingga 40 peratus Julai lalu,
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan membayar saguhati RM2,000 seorang sebagai ganti bayaran bonus untuk tahun ini.
Walaupun baru menikmati kenaikan gaji sehingga 40 peratus Julai lalu,
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan membayar saguhati RM2,000 seorang sebagai ganti bayaran bonus untuk tahun ini.
Pada masa yang sama, Presiden Cuepacs, Omar Osman juga meminta kerajaan membayar saguhati RM500 kepada kira-kira 500,000 pesara kerajaan.
Omar berkata, bayaran RM2,000 kepada setiap kakitangan kerajaan yang berjumlah kira-kira 1.3 juta orang, adalah munasabah dan mampu dibayar kerajaan.
"Bayaran saguhati bukan perkara baru kerana pada 1998 ketika ekonomi negara merosot teruk, kerajaan masih membayar sagu hati kepada kakitangannya.
"Tahun lalu, kerajaan membayar bonus dua bulan gaji untuk mereka yang bergaji RM700 sebulan dan RM1,500 untuk kakitangan yang gajinya lebih RM1,500 sebulan.
"Jika dalam ekonomi gawat pada 1998, kerajaan masih boleh membayar saguhati, maka tiada sebab tidak boleh berbuat demikian tahun ini," katanya ketika ditemui malaysiakini di pejabatnya di ibu negara hari ini.
Omar berkata, pembayaran saguhati itu sebagai bantuan untuk meringankan beban kakitangannya yang menghadapi tiga perayaan - Hari Raya, Deepavali dan Krismas.
Cuepacs, katanya, telah menghantar memorandum tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Kewangan pada 9 September lalu.
'Naikkan umur bersara'
Bagaimanapun, sehingga ini pihaknya belum menerima jawaban mengenai perkara tersebut tetapi yakin `permintaan itu tidak akan dihampakan'.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Cuepacs meminta kerajaan melanjutkan umur persaraan kakitangan awam dari 56 tahun sekarang kepada 60 atau sekurang-kurangnya 58 tahun.
Omar berkata, di negara jiran di rantau Asia Tenggara, umur persaraan kakitangan awam melebih 56 tahun, malah 60 tahun di Singapura.
"Kesihatan rakyat negara semakin baik, jadi umur 56 tahun masih kuat bekerja dan rugi jika pengalaman dan kemahiran mereka tidak digunakan," katanya.
Menurutnya, kira-kira 23,000 kakitangan awam bersara wajib setiap tahun dan sebahagian besar mereka tidak melakukan apa-apa kerja lagi.
Katanya, ini membebankan mereka kerana terpaksa menggunakan wang pencen untuk menanggung anak-anak yang masih belajar di universiti atau atau sekolah menengah.
"KIta membuat permintaan ini kerana tidak mahu melihat pesara kerajaan susah kerana masih menanggung keluarga dan ini juga boleh menjejaskan imej sektor awam," katanya.
Julai lalu, kakitangan awam di seluruh negara menikmati kenaikan gaji sebanyak 35 peratus, manakala anggota polis sebanyak 40 peratus.

