Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM soal pemberi maklumat skandal rasuah Sabah hampir 11 jam
Diterbitkan:  Mar 13, 2025 9:38 PM
Dikemaskini: 1:38 PM

Pemberi maklumat yang mendedahkan klip video yang didakwa memaparkan penglibatan rasuah ahli politik Sabah menghabiskan hampir 11 jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Ahli perniagaan berusia 36 tahun itu mula disoal siasat dari jam 10 pagi sehingga hampir 9 malam.

Menurutnya, pegawai penyiasat memaklumkan bahawa temu bual telah selesai berhubung sembilan video dan mesej WhatsApp yang didedahkannya berhubung skandal rasuah Sabah.

“Semuanya berjalan lancar. Saya diberitahu saya tidak perlu datang semula esok, tetapi saya harus bersiap sedia sekiranya mereka mempunyai soalan lanjut,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia ditemani peguamnya, Mahajoth Singh.

Semalam, ahli perniagaan itu, yang dikenali sebagai "Albert," telah disoal siasat selama lebih lima jam.

Albert mendakwa bahawa dia merasuah beberapa Adun, termasuk menteri kanan negeri, sebagai pertukaran untuk lesen carigali mineral.

Pada Isnin, dia mengeluarkan video kesembilannya yang memaparkan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Kadzim Yahya.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menuduh Albert bersekongkol dengan individu yang mempunyai kepentingan untuk menjejaskan kerajaannya.

Terdapat juga dakwaan bahawa Albert adalah sebahagian daripada kartel yang cuba memonopoli perlombongan di negeri itu, menggunakan taktik penipuan untuk mencapai matlamat ini.

Dalam usaha untuk memburukkan namanya, rekod lampau Albert, termasuk pertuduhan di bawah Akta Imigresen, turut dibangkitkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS