Pemberi maklumat skandal rasuah Sabah menyerahkan bukti yang mencukupi kepada SPRM semasa soal siasat semalam, menurut peguamnya Mahajoth Singh.
Mahajoth berkata demikian anak guamnya, iaitu ahli perniagaan yang dikenali sebagai "Albert" telah memberi kerjasama penuh sepanjang sesi soal siasat yang memakan masa kira-kira 11 jam.
“Bukti yang mencukupi telah diberikan, yang menjadikan keterangan hampir mencecah 50 muka surat.
“Sebarang jenayah, terutama kes rasuah oleh penjawat awam, perlu disiasat dengan segera dan teliti. Kini, terpulang kepada SPRM untuk membuat tindakan,” katanya.
“Albert”, yang sebelum ini mendedahkan klip video yang didakwa memaparkan penglibatan rasuah ahli politik Sabah, disoal siasat dari jam 10 pagi sehingga hampir sembilan malam semalam. Dua hari lalu, dia telah disoal siasat SPRM selama lebih lima jam.
Semalam, dia memberitahu Malaysiakini yang pegawai penyiasat memaklumkan temu bual telah selesai berhubung sembilan video dan mesej WhatsApp yang didedahkannya berhubung skandal tersebut.
Albert sebelum ini mendakwa dia telah merasuah beberapa Adun di Sabah, termasuk menteri kanan negeri, sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral.
