Presiden Palestin lawat M'sia esok
Presiden Palestin Mahmoud Abbas akan melakukan lawatan sulungnya ke Malaysia sejak menjadi presiden negara yang bergolak itu pada Januari 2005.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas akan melakukan lawatan sulungnya ke Malaysia sejak menjadi presiden negara yang bergolak itu pada Januari 2005.
Mahmoud atau gelaran popularnya Abu Mazen, akan tiba esok untuk lawatan kerja dua hari, sebagai sebahagian daripada siri kunjungannya ke Asia Tenggara.
Malaysia merupakan negara persinggahan pertamanya sebelum mengunjungi Indonesia dan Brunei, bagi meraih sokongan negara-negara penting Islam, sebelum menghadiri mesyuarat dengan Israel yang ditaja Amerika Syarikat, demikian menurut Bernama.
Menurut satu kenyataan Wisma Putra, Mahmoud akan diiringi tiga anggota delegasi terdiri daripada seorang menteri kabinet, anggota Parlimen dan seorang pegawai kanan.
"Ini merupakan lawatan kerja pertama beliau ke Malaysia sejak dipilih sebagai presiden negara Palestin pada Januari 2005," menurut kenyataan itu.
Raih sokongan
Mahmoud dipilih presiden oleh pihak berkuasa Palestin pada 9 Januari 2005 dan memulakan tugas pada 15 Januari 2005.
Semasa lawatannya, Mahmoud dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana
Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di mana beliau akan memberikan
penerangan mengenai situasi terkini di Palestin.
Agensi berita antarabangsa melaporkan bahawa Mahmoud meninggalkan Tebing Barat pada hari Khamis untuk lawatan ini yang memberi tumpuan kepada meraih sokongan negara-negara penting Islam sebelum menghadiri mesyuarat dengan Israel yang ditaja Amerika Syarikat.
Mahmoud mahu mendapatkan sokongan kuasa Islam sebelum ke Amerika untuk
bermesyuarat dengan Israel lewat tahun ini yang telah membangkitkan harapan bagi menghidupkan semula proses damai Timur Tengah selepas tujuh tahun menemui jalan buntu.
Beliau akan berlepas dari Kuala Lumpur ke Jakarta, Indonesia, pada hari Ahad.

