PKFZ: Lawatan PAC 'hanya untuk publisiti''
Di mata orang luar, Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) telah melakukan kerjanya dengan baik. Tetapi bagi orang dalam pula, PAC dianggap hanya bagus untuk mendapatkan publisiti sahaja - jika diambilkira perkembangan kebelakangan ini.
Di mata orang luar, Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) telah melakukan kerjanya dengan baik. Tetapi bagi orang dalam pula, PAC dianggap hanya bagus untuk mendapatkan publisiti sahaja - jika diambilkira perkembangan kebelakangan ini.
"PAC sepatutnya dipanggil Jawatankuasa Bertindak Akhbar kerana tiada apa apa yang telah mereka lakukannya, kecuali mendapatkan publisiti media," kata satu sumber yang tidak puashati hari ini.
Inilah luahan kekecewaan sumber tersebut yang telah bekerjasama rapat dengan PAC yang menyiasat dakwaan penyelewengan membabitkan projek Zon Bebas Port Klang (PKFZ).
Semalam, PAC meninjau tapak PKFZ untuk menilai kemajuan projek bernilai RM4.6 bilion itu, tetapi menurut sumber tersebut, lawatan itu sengaja diadakan untuk menarik perhatian media dan orang ramai.
"Tujuan lawatan tersebut adalah untuk melihat operasi PKFZ tetapi PAC yang sepatutnya menyiasat dakwaan penyelewengan pengurusannya, tidak seharunys menelan bulat-bulat apa yang dikatakan oleh pegawai PKFZ kerana sudah tentunya semuanya baik-baik belaka," kata sumber itu lagi.
Dalam lawatannya semalam,
Malaysiakini
difahamkan, daripada sejumlah 512 unit gudang industri kecil, 18 telah disewakan dan 39 peratus daripada 640 ekar tanah kosong di situ dijadual dibangunkan tidak lama lagi.
Daripada empat unit komersial pula, sebuah daripadanya telah disewa oleh syarikat multinasional minyak dan gas Norway, Aker Kvaerner.
Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, beliau puashati sambil menambah bahawa PKFZ adalah di landasan pembangunan yang betul.
Bagaimanapun, sumber itu merasakan yang Shahrir telah mengelirukan pihak media kerana selepas menilai momentum pertumbuhan projek tersebut, pihak berkuasa PKFZ tidak mampu membuat bayaran balik 'pinjaman mudah' yang diberikan kerajaan.
"PKFZ memulakan operasinya pada 1 November dan selepas hampir setahun, kadar pertumbuhannya sangatlah perlahan.
"Jika ia projek komersial berdaya maju dan mampu menjana pendapatan besar kepada negara, mengapa ia tidak dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9)? Jawapan saya ialah ianya kerana mereka tahu ianya bukan satu projek komersial yang berdaya maju," kata sumber tersebut.
Khidmat pakar
Sumber itu juga tidak puashati dengan keanggotaan PAC yang menurutnya hanya terdiri daripada ahli politik yang tidak mempunyai kuasa untuk meneliti aspek teknikal isu PKFZ itu.
"PAC sepatutnya mendapatkan khidmat pakar supaya soalan yang betul ditanya dan siasatan itu akan lebih berkualiti dan tidak hanya membazirkan masa," tegasnya.
Mengenai dakwaan kerajaan bahawa projek tersebut akan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, sumber berkata, ia tidak mungkin berlaku.
Sebaliknya, kata beliau, perbualannya dengan kakitangan syarikat Norway tersebut mendapati mereka tidak mempercayai kemampuan pekerja tempatan kerana kurang kemahiran yang diperlukan.
PKFZ kini hanya mempunyai 800 kakitangan, walaupun ia dikatakan akan menyediakan 24,000 peluang pekerjaan menjelang akhir tahun ini.
Dan sebahagian besar daripada 800 kakitangan tersebut adalah rakyat asing kerana kekurangan tenaga mahir tempatan.
Menurut sumber itu lagi, ini membuktikan komen kakitangan syarikat Norway tersebut bahawa kemahiran pekerja tempatan tidak seperti yang diharapkan.
PAC memulakan siasatannya terhadap projek PKFZ pada 25 September lalu dan sejak itu telah mendapatkan keterangan daripada ramai pegawai tinggi kerajaan.
Selepas ini, PAC akan mendapatkan keterangan daripada Peguam Negara serta menerima laporan kewangan muktamat dari Kementerian Kewangan untuk menyiapkan siasatannya.

