Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendakwa masih banyak jabatan dan agensi kerajaan yang beroperasi dalam keadaan tidak sempurna dan sekaligus memberi imej buruk kepada perkhidmatan awam negara.

Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, sehingga ini masih ada jabatan kerajaan yang menyewa rumah kedai, terutama di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara.

"Kita selalu menemui ruang menunggu yang sempit, fail berterabur di atas meja, pegawai terpaksa duduk dalam keadaan bersesak dan bilik ketua jabatan yang tidak sesuai.

"Ianya banyak berlaku di pejabat tanah dan daerah kerana ia merupakan antara tempat tumpuan orang ramai, khususnya masyarakat kampung," katanya ketika ditemui malaysiakini di pejabatnya di ibu negara semalam.

Omar berkata, ianya cukup berbeza dengan kemudahan pejabat kerajaan di Putrajaya yang dilengkapi kemudahan serba lengkap dan moden.

Katanya, beliau telah memaklumkan mengenai masalah kakitangan kerajaan yang bertugas di luar bandar kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan supaya mengambil tindakan bagi mengatasinya.

Sistem E-kerajaan

Menurutnya, langkah segera perlu diambil kerana kemudahan-kemudahan asas tidak sempurna atau masih ketinggalan, sedangkan kerajaan sudah melaksanakan sistem pentadbiran moden seperti E-kerajaan.

Beliau berkata, ketua jabatan perlu turun melihat sendiri masalah yang dihadapi kakitangan mereka, khususnya yang bertugas di kawasan luar bandar.

"Ini kerana masalah sedemikian rupa boleh merencatkan modal insan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Omar berkata, keadaan sedemikian juga antara yang menjadi faktor mengapa kakitangan awam tidak bersemangat melakukan tugas harian.

Oleh itu, katanya, tidak hairanlah orang ramai kerap merungut dan mempertikaikan mengenai kredibiliti dan kebolehan kakitangan awam menjalankan tugas.

Menurutnya, kakitangan awam juga kekurangan motivasi, malah sepanjang tempoh perkhidmatan, tidak pernah menghadiri ceramah atau kelas motivasi.

Peluang naik pangkat

"Paling mengejutkan apabila kakitangan awam hanya boleh melakukan satu kerja sahaja ekoran ketiadaan latihan untuk meningkatkan prestasi kerja.

"Mereka kurang didedahkan dengan latihan semasa, ini menyebabkan jika kerani akan menjadi kerani sehingga pencen," katanya.

Sehubungan itu, Omar berkata, kakitangan teknikal umpamanya perlu dihantar menjalani latihan di luar negara, meskipun mereka telah mempunyai kelayakan akademik yang tinggi.

Katanya, daya saingan kakitangan awam rendah jika dibandingkan dengan pekerja sektor swasta disebabkan beberapa perkara seperti dari segi peluang kenaikan pangkat.

"Bayangkan hanya lima peratus kakitangan awam yang dinaikkan pangkat dalam setahun berbanding tiada kuota untuk sektor swasta," katanya.

Sehungan itu, katanya, dalam beberapa perkara kerajaan perlu mempelajari kelebihan yang ada dalam perkhidmatan dan pengurusan sektor swasta.