Peguam Wee Choo Keong mahu tindakan diambil terhadap empat pihak yang didakwanya telah mencabul hak asasinya ekoran kontroversi klip video perbualan peguam VK Lingam.

Mereka adalah Lingam; Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Menteri yang menjaga halehwal perundangan, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz dan kerajaan Malaysia.

Nama mereka disebut dalam aduan Wee - yang namanya turut disebut dalam klip video tersebut - kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.

"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa saya tidak membuat aduan ini kepada Suhakam berhubung keputusan petisyen pilihanraya umum 1995 yang didengar oleh Ahmad Fairuz sebagai hakim (mahkamah) pilihanraya dan membatalkan (kemenangan) saya sebagai ahli Parlimen.

Wee bertanding kerusi tersebut atas tiket DAP. Ahmad Fairuz tidak mengarahkan pilihanraya kecil diadakan tetapi sebaliknya mengisytiharkan calon Barisan Nasional (BN), Dr Lee Chong Meng, sebagai pemenangnya.

Keputusan mahkamah pilihanraya ketika itu adalah muktamad dan tidak boleh dirayu. Wee kini telah meninggalkan DAP dan menubuhkan Parti Demokratik Malaysia dan menjadi setiausaha agungnya.

"Satu-satunya aduan saya kepada Suhakam ialah mengenai perilaku pihak-pihak terbabit dalam klip video tersebut," kata Wee dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada pemberita di ibupejabat Suhakam pagi ini.

Wee, antara lain, mendakwa wujud konspirasi untuk mencabul hak asasinya, seperti kesaksamaan dan kebebasan yang diperuntukkan dalam beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Sejagat Mengenai Hak Asasi Manusia.

Keputusan kontroversi

Nama bekas ahli Parlimen Bukit Bintang itu disebut dalam klip video selama lapan minit itu, dikatakan dirakam pada tahun 2002, yang menunjukkan Lingam sedang berbual melalui telefon, didakwa dengan Ahmad Fairuz mengenai hakim-hakim 'yang sehaluan'.

Ahmad Fairuz, yang ketika itu merupakan Hakim Besar Malaya, telah menafikan terbabit dalam klip video tersebut.

Dalam aduannya itu, Wee menuduh Lingam dan Ahmad Fairuz "berkonspirasi dan bertindak secara tidak sah" untuk mencabul hak asasinya - merujuk kepada keputusan petisyen pilihanraya tersebut - di bawah Artikel 8 mengenai kesaksamaan.

Beliau juga mendakwa Ahmad Fairuz dan Nazri telah bertindak secara tidak sahah apabila Ketua Hakim Negara itu membuat penafian melalui Nazri mengenai pembabitannya dalam klip video tersebut, yang didakwanya telah melanggar rangka pemisahan kuasa.

Ini, katanya, telah melanggar haknya di bawah Artikel 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Wee juga mendakwa, Nazri dan kerajaan telah menafikan haknya untuk mendapat layanan saksama apabila mereka gagal menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat isu-isu yang dibangkitkan dalam klip video itu, tetapi sebaliknya telah menubuhkan panel tiga anggota yang tidak mempunyai kuasa perundangan.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam menerima aduan tersebut. Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan suruhanjaya tersebut.