Saya dituduh cari publisiti murahan, kata Kayveas
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas berkata, beliau sedar ada sesetengah pihak melabelkannya sebagai mengada-ngada dan suka mencari publisiti murahan.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas berkata, beliau sedar ada sesetengah pihak melabelkannya sebagai mengada-ngada dan suka mencari publisiti murahan.
"Ada yang menuduh saya dan PPP sebagai `pengacau' dalam Barisan Nasional (BN) sedangkan suara saya itu mewakili 530,222 ahli dari semua peringkat," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dun ia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan perhimpunan tersebut dan turut dihadiri oleh pemimpin komponen BN lain.
Kayveas yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata: `Memanglah saya faham, malah lebih faham tentang sepak terajang di dalam dunia politik negara".
Beliau dipercayai merujuk kepada ruangan Senyum Kambing di akhbat Utusan Malaysia Selasa lalu yang bertajuk 'Tiada Kerusi Untuk PPP' di ruang Senyum Kambing.
Dialog Pertama: Tiada kerusi pilihanraya untuk PPP di Melaka, kata Ali Rustam .
Dialog Kedua: Aku harap Kayveas faham.
Semangat BN
Kayveas yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, beliau tidak mahu memberi reaksi kepada kenyataan Ketua Menteri Melaka itu.
"Kenyataan tersebut memang bersifat mendera dan menghina namun atas semangat dan toleransi BN saya membenarkan tetamu kami (PPP) menyelesaikan ucapannya," katanya.
Dalam ucapannya, Kayveas berkata, beliau masih mempertahankan permohonan PPP untuk mendapat sekurang-kurangnya satu kerusi di setiap negeri.
"Untuk itu, alangkah baiknya jika kerajaan BN di setiap negeri memperuntukkan sekurang-kurangnya satu kerusi yang dimiliki sekarang ini kepada PPP.
"Kerana jika hendak (di) harapkan kepada kerusi baru, belum tahu lagi bila masanya.
"Biarlah semua kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya umum 1969 secara automatik diberi kepada komponen BN," katanya.
Perbetul persepsi
Ketika ini PPP hanya mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Taiping.
Bagaimanapun, Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Berdamar di Teluk Intan yang diperuntukkan kepada parti itu dalam pilihanraya lalu umum lalu, dimenangi calon DAP.
Kayveas berkata, beliau bersuara mengenai perkara tersebut kerana mahu memperbetulkan persepsi orang ramai yang kurang tepat terhadap dirinya dan juga PPP.
Katanya, jika beliau tidak bersuara, ahli PPP tidak akan memaafkannya.
Menurutnya, apabila ada isu serius mengenai masyarakat yang perlu diketengahkan, ada sesetengah parti politik yang cuba membuat kenyataan popular tetapi mengelak menimbulkan isu tersebut.
Katanya, ini tidak sihat kerana isu seperti itu perlu diutara atau diketengahkan bersama.

