PM: Mengapa BN ganti Perikatan
Barisan Nasional (BN) diwujudkan bukan kerana Perikatan gagal, tetapi sebaliknya mahu memperluaskan konsep perkongsian kuasa di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Barisan Nasional (BN) diwujudkan bukan kerana Perikatan gagal, tetapi sebaliknya mahu memperluaskan konsep perkongsian kuasa di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pengerusi BN itu berkata, BN lahir hasil daripada Majlis Perundingan Negara yang diadakan secara tertutup, membabitkan pemimpin-pemimpin politik pelbagai kaum dari seluruh negara.
BN ditubuhkan pada 1972 dan mempunyai 14 parti, menggantikan Perikatan yang ditubuhkan pada 1957 yang mewakili tiga parti sahaja iaitu Umno, MCA dan MIC.
Menurutnya, BN wujud kerana formula berkongsi kuasa diperluaskan supaya seramai mungkin berada dalam satu muafakat yang besar.
"Saya turut menghadiri mesyuarat Majlis Perundingan Negara yang merangka penubuhan BN bagi mewujudkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran bersama kepada rakyat negara ini," katanya ketika merasmikan perhimpunan agung Parti Progresif Penduduk (PPP) ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
Hadir sama ialah Presiden PPP, Datuk M Kayveas, pemimpin komponen BN dan kira-kira 1,000 perwakilan parti itu dari seluruh negara.
BN untuk semua
Abdullah berkata, kerajaan tidak mahu rakyat bergaduh kerana isu-isu yang membabitkan kaum, agama atau kelas tinggi dan kelas rendah.
Katanya, BN bukanlah hanya untuk satu kaum atau satu agama tertentu dan tidak juga untuk orang kaya sahaja.
"Saya tidak kata BN hanya untuk segelintir orang sahaja kerana jika itulah amalannya, hari ini parti ini sudah lenyap.
"Kaya bukan syarat untuk jadi ahli BN, sebaliknya ia terbuka kepada semua orang di Malaysia," katanya.
Abdullah berkata, kerajaan yang ditunjangi BN memperbesarkan kek ekonomi supaya pengagihan dapat dibuat lebih adil untuk semua kaum.
Katanya, prinsip BN tidak memaksa satu kaum memberi kepada kaum lain tetapi berkongsi kuasa untuk kemakmuran bersama.
Tambah kerusi
Beliau bagaimanapun, berkata, ini bukan bermakna tiada masalah dalam BN kerana wakil parti mahu menyampaikan hasrat kaum parti yang diwakilinya.
Abdullah berkata, pembangkang cuba meniru konsep permuafakatan dan berkongsi kuasa BN tetapi gagal.
Mengenai tuntutan PPP supaya diberikan lebih banyak kerusi dalam pilihanraya umum akan datang, Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Pusat BN akan menimbangkan permintaan tersebut secara perbincangan dan muafakat.
"Kita tidak perlu tekanan dari luar dan dalam BN tiada gimik politik," katanya.
Sebelum itu, dalam ucapan dasar Presiden, Kayveas menuntut diberikan lebih banyak kerusi kepada PPP dalam pilihanraya umum akan datang.
Pada masa ini, parti itu hanya mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Taiping yang diwakili oleh Kayveas.

