Wan Farid akan bertanding DUN Ladang?
Kini semakin pasti Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh akan bertanding dalam pilihanraya umum yang dijangka diadakan awal tahun depan.
Kini semakin pasti Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh akan bertanding dalam pilihanraya umum yang dijangka diadakan awal tahun depan.
Menurut sumber, Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu itu akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, yang terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Perkembangan terbaru ini menguatkan lagi ramalan bahawa Wan Ahmad Farid akan dilantik menjadi menteri besar menggantikan, Datuk Seri Idris Jusoh.
Idris (kanan) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh dan menjadi menjadi menteri besar sejak pilihanraya umum 2004, dikatakan akan bertanding kerusi Parlimen Besut.
Ramalan tersebut tersebar luas sejak kebelakangan ini di kalangan ahli Umno di Terengganu, khususnya di bahagian Kuala Terengganu yang diketuai Wan Ahmad Farid.
DUN Ladang ketika ini diwakili abangnya, Datuk Wan Hisham yang juga Exco kerajaan negeri yang dimenanginya dalam pilihanraya umum lalu.
Wan Hisham dikatakan akan bertanding di DUN lain tetapi ramai yang mengatakan beliau akan digugurkan berikutan prestasinya yang kurang memuaskan.
Beritahu rakan
Wan Ahmad Farid sendiri menurut sumber itu, telah memberitahu rakan-rakan dan penyokongnya bahawa beliau akan bertanding di DUN Ladang.
"Wan Ahmad Farid, umpamanya baru-baru ini memberitahu beberapa ahli Umno di sebuah kedai makan di Kuala Terengganu bahawa beliau akan bertanding di DUN Ladang.
"Sebab itu tiap-tiap minggu beliau balik ke Kuala Terengganu dan semakin kerap menemui orang ramai, khususnya ahli-ahli Umno di kawasan DUN Ladang," kata sumber itu.
Dalam temubual dengan Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini, Wan Ahmad Farid berkata, beliau tidak boleh menghalang orang ramai daripada menyebarkan berita mengenai perkara tersebut.
Wan Farid, 45, seorang peguam lulusan Universiti Thames Valley, London itu, berkata adalah lebih baik orang tidak bercakap mengenai perkara tersebut
"Dalam politik kita tidak boleh menyimpan cita-cita yang besar kerana kedudukan kita ditentukan oleh takdir.
"Saya tidak fikir ke arah itu kerana pada masa ini keutamaan ialah lebih baik kita bersama-sama memajukan negeri kita," katanya.

