Calon angkasawan kedua negara tidak dilupakan...
Di tengah-tengah kegembiraan rakyat Malaysia menyambut kepulangan angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, angkasawan kedua, Dr Faiz Khaleed juga tidak dilupakan.
Di tengah-tengah kegembiraan rakyat Malaysia menyambut kepulangan angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, angkasawan kedua, Dr Faiz Khaleed juga tidak dilupakan.
Sebagai penghargaan kepadanya, Dr Faiz Khaleed (kanan) telah dinaikkan pangkat daripada kapten kepada mejar, berkuatkuasa serta merta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenaikan pangkat Dr Faiz itu dibuat selepas beliau berbincang dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal, demikian menurut Bernama.
"Sejak Dr Faiz menjalani latihan angkasawan, beliau dianggap sebagai ikon negara dan kenaikan pangkat itu bertujuan membolehkan beliau memberi dorongan kepada generasi muda supaya berusaha gigih bagi mencapai sesuatu kejayaan," katanya ketika berucap di majlis makan di Moscow lewat malam tadi.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaludin Jarjis dan Jeneral Abdul Aziz.
Dr Faiz, 27, masih bertugas dengan ATM dan dipinjamkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sejak program angkasawan itu dimulakan.
Perjalanan pulang
Sementara itu, kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa Dr Sheikh Muszaphar bersama dua lagi krew - Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov - mendarat di Arkylk, Kazakhstan, kira-kira 1,500km dari Moscow pada kira-kira jam 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia) semalam, selepas 3 jam 23 minit perjalanan dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Dr Sheikh Muszaphar Selepas 11 hari berada di angkasa lepas. Kepulangan beliau disambut dengan penuh rasa lega dan tepukan gemuruh petugas serta orang ramai yang berada di Pusat Kawalan Misi di Moscow, yang termasuk timbalan perdana menteri dan Dr Jamaludin.
Pegawai-pegawai kanan Agensi Angkasa Rusia, Roscosmos, termasuk Presidennya Anatoni Perminov turut hadir untuk menyaksikan pendaratan itu.
Turut menyaksikan detik-detik bersejarah itu ialah ibu bapa angkasawan pertama negara itu, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad, serta abangnya Sheikh Ahmad, dan enam pelajar sekolah menengah yang berjaya dalam pelbagai kategori pertandingan kejuruteraan, sains, dan inovasi pada bulan Ogos lalu.
Sejurus selepas mendarat, satu cebisan lambang misi angkasawan Malaysia ditampal di dinding pusat kawalan teknikal Malaysia, yang menjadi gambaran simbolik kepada kejayaan Malaysia menyempurnakan misi itu.
Semasa kapsul angkasa itu berlepas dari ISS pada jam 11.15 pagi, semua pihak mulai berdoa untuk keselamatan pendaratan Soyuz TMA-10, kerana impak terhadap kapsul itu semasa ia memasuki ruang atmosfera bumi cukup kuat apabila ia bergerak pada kelajuan 755 meter sesaat.
Kesan mikro graviti
Bagaimanapun impak itu diminimakan selepas payung terjun khas dibuka dari kapsul angkasa itu pada ketinggian 10 km sebelum ia mendarat di bumi.
Enam helikopter kemudiannya dikerah mencari kapsul angkasa itu.
Pengarah Program Angkasa Malaysia Kol Dr Zulkeffeli Mat Jusoh berada di tapak pendaratan untuk membawa Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke pusat perubatan sementara untuk dipulihkan dari kesan mikro graviti yang
ditempuhinya sejak 11 hari berada di ruang angkasa lepas.
Angkasawan Malaysia itu kemudianya dibawa ke pengkalan udara Chakalovsky, berhampiran Gagarin Cosmonaut Training Centre, Star City, di sini, di mana satu majlis khas diadakan untuk menyambut kepulangannya oleh Najib.
Angkasawan Malaysia itu akan berada di Moscow untuk tempoh dua minggu lagi bagi tujuan kuarantin, sebelum kembali ke Malaysia.

