Hari ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula yang menerima notis dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang memberi tempoh tiga hari kepadanya untuk menyerahkan klip video asal perbualan peguam Datuk VK Lingam.

Jika gagal mematuhi notis tersebut, yang dikeluarkan mengikut Akta Mencegah Rasuah 1997, Anwar boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau hukuman dua tahun penjara.

Tiga pegawai BPR yang diketuai oleh ketua bahagian tugas khas, Sazali Salbi (foto bawah, kanan), memberi notis tersebut kepada Anwar selepas mengadakan pertemuan tiga jam dengan bekas timbalan perdana menteri itu di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.

Mereka enggan bercakap dengan pihak media ketika meninggalkan pejabat Anwar.

Anwar diberi tempoh hingga Khamis ini untuk mematuhi arahan tersebut. Anwar tidak memberi sebarang ulasan apabila ditanya sama ada beliau akan mematuhi arahan dalam notis yang diterima dari BPR itu.

"(Pendedahan baki klip video itu) tertakluk kepada persetujuan pemberi maklumat. Mereka mahu dilindungi, (dan) saya tidak boleh melindungi keselamatan peribadi mereka," kata Anwar dalam sidang akhbar kemudiannya.

"Jaminan keselamatan peribadi dan imuniti daripada tindakan undang-undang adalah soalan yang belum terjawab yang mesti ditangani sebelum baki klip video itu didedahkan," tambahnya.

Anwar telah mendedahkan klip video selama lapan minit itu pada 19 September lalu, yang menurutnya adalah sebahagian daripada rakaman sepanjang 14 minit.

Menurutnya, baki klip video itu tidak dapat didedahkan lagi bagi melindungi identiti dua pemberi sumber tersebut.

Dalam sidang akhbar hari ini Anwar mengulangi perlunya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat dakwaan dalam klip video itu, yang telah menggegarkan masyarakat perundangan dan orang ramai.

Arahan dari 'atas'

Menurut Anwar, notis BPR hari ini dikeluarkan atas arahan dari "atas'.

Arahan itu dibuat walaupun beliau sebelum ini telah menawarkan untuk menyerahkan kepada BPR 'salinan tulen' klip video lapan minit tersebut, yang menurut Anwar, sudah memadai untuk mengesahkan klip tersebut.

BPR pula berkata klip video yang diserahkan kepada badan tersebut tidak cukup bagus untuk membuktikan kesahihannya.

Anwar berkata, beliau akan menyediakan satu salinan klip vdieo yang "boleh disahkan" supaya pihak berkuasa tidak ada sebab lagi untuk tidak meneruskan siasatan.

Menurut beliau, PKR sebelum ini telah menyerahkan satu salinan klip video itu dalam bentuk cakra padat.

Bagaimanapun, katanya, salinan asal, yang masih disimpan oleh pemberi maklumat, akan diperolehi dari mereka minggu depan dan ini akan disimpan dalam 'thumb drive' sebelum diserahkan kepada BPR.

"Tetapi selepas selesai memberi kenyataan dan walaupun saya berjanji (untuk berbuat demikian), pegawai BPR menerima satu arahan (melalui telefon bimbit)...supaya mengeluarkan arahan supaya saya menyerahkan rakaman asal klip video tersebut," katanya.

Menurut Anwar, parti pembangkang juga akan mendedahkan tidak lama lagi pandangan pakar-pakar video mengenai klip video tersebut.

Antara yang hadir di sidang akhbar tersebut ialah peguam Anwar - R Sivarasa, William Leong dan Sankara Nair