DAP dedah bukti arahan beri kontrak pada bumi sahaja
DAP hari ini mendedahkan tiga pekeliling kerajaan yang didakwanya berunsur diksriminasi dan pilih kasih kerana mengarahkan beberapa kementerian kerajaan supaya memberi kontrak kepada syarikat bumiputera sahaja.
DAP hari ini mendedahkan tiga pekeliling kerajaan yang didakwanya berunsur diksriminasi dan pilih kasih kerana mengarahkan beberapa kementerian kerajaan supaya memberi kontrak kepada syarikat bumiputera sahaja.
Sehubungan itu, parti pembangkang itu menuduhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang "pembohong' dan hipokrat".
Dokumen-dokumen tersebut, yang didedahkan dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini, mengandungi arahan kepada kementerian berbeza supaya memberi kontrak-kontrak kerajaan kepada syarikat bumiputera sahaja.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (foto)menyifatkannya sebagai satu "hipokrasi" kerana Abdullah berkata beliau tidak mengamalkan pilih kasih dan akan terus melayan semua kaum secara adil dan saksama.
Salah satu daripadanya adalah surat pekeliling Perbendaharaan yang dikeluarkan November lalu. Ia mengandungi arahan khusus kepada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan supaya memberi kontrak projek-projek pembangunan fizikal di bawah nilai RM30 juta hanya kepada syarikat bumiputera yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
Satu lagi dokumen yang ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, mengarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya mendapatkan peralatan permainan luar kanak-kanak dari sebuah kontraktor bumiputera, bernama Pro-Landscape Structure Sdn Bhd.
Menurut dokumen itu, jika ada syarikat-syarikat bumiputera lain yang terbabit dalam bidang yang sama dan diiktiraf oleh pihak kementerian, maka sebuah panel akan membuat pilihan berdasarkan kepada faktor harga.
Dokumen ketiga, yang bertarikh 15 Julai 2005 dan ditandatangani oleh pegawai Kementerian Pelajaran, Adnan Arup menyatakan, unit-unit yang berkenaan 'dinasihatkan' supaya membeli buku teks dari pembekal bumiputera.
Malah, Lim mendakwa, buku-buku dalam bahasa Cinal dan Tamil pun mesti dibeli dari sebuah syarikat bumiputera.
Kemuka bantahan
Ahli Parlimen DAP dari Kuching, Chong Chieng Jen, yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut, menuduh Abdullah berbohong ketika berucap sewaktu melawat Kuching, Sarawak, minggu lalu.
"Beliau bercakap mengenai perpaduan nasional dan kesaksamaan, tetapi tindakan beliau dan mereka di bawah beliau, menunjukkan sebaliknya," katanya.
Chong berkata, beliau telah menghantar tiga memorandum bantahan kepada Abdullah, setiausaha beliau dan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yackob, tetapi sehingga ini belum menerima sebarang jawapan.
Menurut Lim, para kontraktor bukan bumiputera juga bergantung kepada kontrak kerajaan dan dasar-dasar yang berasaskan kaum itu, telah menafikan mata pencarian mereka.
Jay Tan, seorang pengeluar peralatan permainan luar kanak-kanak, memberitahu pemberita bahawa beliau kecewa dalam perniagaannya di mana 30 syarikat sentiasa berebut untuk mendapatkan satu projek.
"Kita terpaksa melalui sebuah syarikat bumiputera untuk mendapatkan kontrak-kontrak. Syarikat ini biasanya mahu mendapat keuntungan dari kami dan ini tidak baik untuk perniagaan," katanya.
Sehubungan itu, Lim menegaskan bahawa rakyat Malaysia berkongsi satu kerakyataan dan oleh itu menggesa kerajaan supaya melayan warganegaranya secara saksama.
Bagaimanapun, di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerajaan, bumiputera diberi keistimewaan untuk mendapatkan kontrak, diskaun dan keistimewaan lain, dalam usaha untuk meningkatkan perkongsian pemilikan ekuiti. Berita asal

