Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membayar dividen yang lebih tinggi tahun ini berbanding 5.15 peratus tahun lalu.

Ini berikutan prestasi pasaran yang menggalakkan, kata ketua pegawai eksekutif Datuk Azlan Zainol.

"Kami yakin yang kami boleh membayar lebih sedikit tahun ini berbanding tahun lalu memandangkan prestasi pasaran saham begitu baik dan pelaburan kami dalam pasaran ekuiti juga agak memberangsangkan," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

KWSP dijangka mengumumkan dividen tahun 2007 pada awal tahun depan, demikian menurut Bernama.

Ditanya mengenai jumlah dividen sebenar yang akan dibayar, beliau berkata: "Saya tidak boleh mendahului keputusan lembaga, panel dan Kementerian Kewangan."

Azlan berkata KWSP turut mencatatkan pendapatan yang tinggi tahun ini berbanding tahun 2006.

Gabungan pelaburan KWSP di dalam dan luar negara bernilai RM300 bilion, di mana pelaburan seberang laut menguasai AS$2 bilion, yang beliau sifatkan sebagai "kecil".