Panel siasat kesahihan klip video Lingam bersidang Isnin ini
Panel bebas khas yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menentukan kesahihan rakaman klip video perbualan telefon seorang peguam yang didakwa mengenai pelantikan hakim-hakim, akan bersidang Isnin depan.
Panel bebas khas yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menentukan kesahihan rakaman klip video perbualan telefon seorang peguam yang didakwa mengenai pelantikan hakim-hakim, akan bersidang Isnin depan.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam berkata sesiapa yang berhasrat memberikan sebarang bahan bukti kepada panel itu bagi mengesahkan kesahihan klip video itu boleh menghadiri sidang itu.
Panel itu akan bersidang di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Tingkat 30, Menara Tun Razak di Jalan Raja Laut, di ibu negara, demikian menurut Bernama.
Bagaimanapun, bagi tujuan pentadbiran, mereka yang ingin menghadiri sidang itu perlu memberi nama dan nombor kad pengenalan mereka terlebih dahulu kepada sekretariat panel di Pejabat Perdana Menteri.
Panel bebas itu mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 3 Oktober lalu.
Panel itu, yang diketuai bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dianggotai oleh aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.
Jadi sasaran
Kerajaan telah menubuhkan panel tersebut selepas pendedahan klip video selama 8 minit itu yang menunjukkan peguam Datuk VK Lingam sedang berbual, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada tahun 2000 mengenai pelantikan hakim-hakim "yang sehaluan'.
Rabu lalu, panel bebas itu menjadi sasaran kritikan, termasuk oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, kerana menangguhkan mesyuarat keduanya pada hari berkenaan.
Menurut Lim, akhbar berbahasa Cina - Sin Chew Daily dan China Press -melaporkan bahawa panel tersebut telah menangguhkan mesyuarat keduanya, yang dijadual diadakan di pejabat Suhakam di Kuala Lumpur, ke tarikh yang belum ditetapkan lagi.
Akhbar China Press melaporkan bahawa mesyuarat itu ditangguhkan kerana BPR tidak dapat menyiapkan siasatannya terhadap klip video Lingam itu.
Manakala seorang pegawai Suhakam berkata beliau tidak tahu sebab pembatalan mesyuarat tersebut dan berkata pejabat kosong pagi ini kecuali beberapa orang wartawan yang hadir.

