Menteri 'berbohong' mengenai tahanan ISA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok 'berbohong' apabila beliau berkata tiada tangkapan dibuat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok 'berbohong' apabila beliau berkata tiada tangkapan dibuat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, dalam satu kenyataan berkata, dakwaan Dompok dalam akhbar the Star kelmarin adalah "satu pembohongan secara terang-terangan" dan menyediakan statistik untuk menyokongnya.
GMI menggesa Dompok (kiri) dan kerajaan supaya menarik balik komen tersebut dan memohon maaf secara terbuka, terutama kepada tahanan ISA dan keluarga mereka.
Dompok dilaporkan berkata, seingatnya, tidak ada sebarang tahanan dibuat di bawah ISA sejak tahun 2003, apabila Abdullah mengambilalih jawatan perdana menteri.
Sebaliknya, kata GMI, jumlah tangkapan ISA telah meningkat dari 12 orang pada tahun 2004 kepada 20 orang pada tahun 2006, walaupun jumlah perintah lanjutan tahanan dan jumlah tahanan di Kem Kamunting telah berkurangan (lihat carta).
Pada tahun 2004, perintah tahanan dilanjutkan untuk 25 orang, berbanding 18 orang tahun lalu. Pada masa ini, terdapat 90 tahanan di Kem Kamunting, yang terletak berhampiran bandar Taiping di Perak.
Menurut Syed Ibrahim lagi, empat orang ditahan kerana didakwa menyebarkan khabar angin mengenai rusuhan kaum di Johor Bahru baru-baru ini.
Lima orang lagi - Mohd Faizul Haji Samsudin, Mohd Amir Mohd Hanafiah, Ahmad Kamil Mohd Hanafiah, Zulkifli Abu Bakar dan Mohd Noor Abu Bakar - ditahan atas dakwaan terbabit dalam kumpulan militan, Jemaah Islamiah.
"Kenyataan menteri tersebut adalah salah (terutama) apabila Abdullah, selaku menteri keselamatan dalam negeri, telah menandatangani dua perintah lanjutan tahanan selama dua tahun terhadap 73 tahanan ISA sejak beliau mengambil alih kuasa," kata Syed Ibrahim.
"Ramai daripada tahanan ini sekarang (...) masuk ke tahun kelima atau keenam ditahan di Kem Kamunting."
Salahguna kuasa
GMI adalah gabungan 83 badan bukan kerajaan (NGO) dan badan kemasyarakatan, aktif berkempen menentang ISA sejak tahun 2001, menggesa supaya dihapuskan undang-undang tersebut serta tahanan tanpa bicara.
"Banyak laporan dan memorandum telah diserahkan kepada Suhakam, pejabat perdana menteri dan kementerian keselamatan dalam negeri, menuntut supaya ISA dihapuskan.
"Lebih tiga memorandum telah dihantar kepada perdana menteri dan kementerian berkenaan sejak tiga tahun lalu - (tidak ada sebarang jawapan daripada mereka)".
Syed Ibrahim menegaskan bahawa ISA bukan sahaja tidak adil terhadap tahanan tetapi juga menjadi salah satu punca berlaku salahguna kuasa.
"Kekurangan ketelusan dan akauntabiliti dan kerahsiaan penggunaan ISA memudahkan berlakunya rasuah, salahguna kuasa dan seksaan oleh pihak polis sepertimana yang terbukti dalam penghakiman dalam kes saman Abdul Malek (Hussin)," katanya.
Dompok turut mengulas mengenai kejayaan Abdul Malek - bekas tahanan ISA - dalam kes samannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di mana beliau telah dianugerahkan gantirugi RM2.5 juta kerana ditangkap dan ditahan secara tidak sah, serta dibelasah ketika dalam tahanan pada 1998.
Menteri itu berkata, ia harus menjadi satu peringatan kepada pihak penguatkuasa undang-undang supaya tidak melanggar hak asasi manusia.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.