Sogokan balak: Kapal Jepun terpaksa tunggu muatan di pelabuhan S'wak
Kapal-kapal pengangkut balak Jepun terpaksa menunggu muatan di tiga buah pelabuhan di Sarawak, dilaporkan sebagai tindakbalas terhadap pendedahan berhubung skandal sogokan balak, tujuh bulan yang lalu.
Kapal-kapal pengangkut balak Jepun terpaksa menunggu muatan di tiga buah pelabuhan di Sarawak, dilaporkan sebagai tindakbalas terhadap pendedahan berhubung skandal sogokan balak, tujuh bulan yang lalu.
Mac lalu, media Jepun dan Malaysiakini melaporkan mengenai skandal sogokan tersebut yang dibayar kepada sebuah syarikat yang berdaftar di Hong Kong, yang dikatakan ada kaitan dengan keluarga Ketua Menteri Sarawak.
Sekurang-kurang sembilan kapal dari Jepun sedang menunggu muatan di pelabuhan Miri-Kuala Baram, Bintulu-Kemena dan Sarikei Tanjung Manis, demikian menurut sumber-sumber yang memetik kakitangan agensi perkapalan.
Sebab utamanya ialah kerana pemilik kapal-kapal Jepun tersebut kini enggan membayar apa yang dianggap sebagai 'rebet' berjumlah AS$2 hingga AS$3 bagi satu meter persegi untuk balak yang eksport dengan kapal mereka.
Tidak dapat dipastkan sama ada kapal-kapal dari Jepun telah belayar meninggal pelabuhan-pelabuhan berkenaan tanpa muatan.
Tetapi seorang jurucakap Lembaga Pelabuhan Miri yang tidak mahu namanya disebut, mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai kelewatan tersebut.
Menurut beliau, kapal balak mesti mengemukakan pernyataan kargonya kepada Jabatan Kastam dan berdasarkan pernyataan tersebut, pemilik kapal akan dikenakan bayaran melalui ejen tempatan sebanyak RM2 setan sebagai levi pelabuhan untuk dana pembangunan dan pembesaran pelabuhan.
Akhbar Japan Times sebelum ini telah melaporkan bahawa syarikat-syarikat perkapalan Jepun yang menganggotai kartel yang terbabit mengangkut balak dari Sarawak, telah didenda oleh pihak berkuasa cukai Tokyo kerana tidak mengisytiharkan pendapatan sebenar mereka.
Dikatakan 'sogokan' berjumlah RM32 juta didakwa telah dibayar oleh sembilan syarikat perkapalan tersebut kepada sebuah syarikat berdaftar di Hong Kong - Regent Star - yang dikatakan ada kaitan dengan keluarga Ketua Menteir Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Tetapi, syarikat perkapalan terbabit mendakwa, bayaran tersebut - yang dibuat sejak bertahun-tahun yang lalu, dikatakan atas arahan ketua menteri Sarawak - adalah sah.
Manakala Taib telah membuat kenyataan khas di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu menafikan sebarang pembabitan dalam skandal tersebut dan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak, termasuk Malaysiakini.
Milik keluarga Taib
Satu sumber yang rapat dengan sebuah syarikat balak di Miri memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa hanya kapal-kapal yang didaftar di Jepun sahaja yang terjejas.
"Nampaknya adalah satu tindakbalas terhadap skandal Regent Star. Ini telah berlaku sejak dua tiga bulan yang lalu," katanya.
Cakap-cakap bahawa Agensi Perkapalan Achi Jepun - sebuah agensi perkapalan tempatan eksklusif bagi semua kapal mengangkut balak Sarawak - didakwa telah menghentikan eksport balak dari Sarawak ke Jepun, mula-mula disiarkan dalam sebuah lamanweb popular tempatan, Sarawak Talk.
Agensi Perkapalan Achi dimiliki anggota keluarga Taib.
Cakap-cakap dalam Sarawak Talk itu berkata pekerja-pekerja tempatan yang mengendalikan pengangkutan kayu balak "kini hanya menunggu kerana tidak ada kerja di pelabuhan".
'Bila tidak ada kerja, maka tidak ada gaji untuk mereka. Kini, dengan kadar inflasi yang begitu tinggi, bila para pekerja tidak ada kerja, maka di mana mereka hendak dapatkan wang untuk membeli makanan untuk keluarga mereka?"
Berita itu menggesa keluarga Tiab supaya membantu pekerja pelabuhan terbabit dengan membenarkan mereka meneruskan kerja masing-masing. Berita asal

