Kesatuan Pekerja Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) meminta kerajaan menangguhkan operasi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam kerana perbincangan mengenai kebajikan dan masa depan pekerja dengan syarikat konsensi terlibat belum dilaksanakan.

Setiausaha Agung Anulae, Mohd Akhir Mansor berkata, pihaknya tidak dipanggil berbincang mengenai penswastaan tersebut dan kerana itu, pihaknya tidak mendapat gambaran yang jelas, terutama mengenai kebajikan pekerjanya.

Katanya, Anulae yang mewakili kira-kira 40,000 pekerja kebanyakannya peringkat rendah, mahu tahu secara mendalam mengenai baik buruknya penswastaan kepada mereka dan masyarakat.

"Sebahagian pekerja terdedah kepada kemungkinan diberhentikan atas alasan syarikat konsensi mahu mengurangkan tenaga kerja dan sekaligus mengurangkan kos operasi.

"Kami ragu-ragu dengan kebajikan pekerja setelah mereka menyertai syarikat konsensi terbabit. Adakah masa depan mereka terjamin.

"Sebahagian pekerja terdedah kepada kemungkinan diberhentikan atas alasan pihak syarikat mahu mengurangkan tenaga kerja dan mengurangkan kos operasi.

Tawar kenaikan gaji

"Walapun kami dimaklumkan bahawa melalui penswastaan tersebut, pekerja ditawarkan kenaikan gaji 13.5 peratus, tetapi yang lebih penting ialah jaminan masa depan mereka" katanya ketika dihubungi hari ini.

Parlimen meluluskan penubuhan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam pada 17 Julai lalu dengan peruntukan permulaan RM1 bilion. Ia dijadualkan beroperasi mulai 1 Januari depan.

Berikutan itu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melantik tiga syarikat konsensi iaitu Alam Flora Sdn Bhd untuk Zon Tengah dan Pantai Timur; E Environment Sdn Bhd (Utara )dan Southern Waste Management Sdn Bhd (Selatan).

Mohd Akhir berkata, hasil perbincangan dengan pekerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), terutama yang berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun, mereka kurang senang kerana banyak kemudahan yang dinikmati sekarang akan hilang apabila mereka menyertai syarikat konsensi terbabit.

Katanya, pekerja risau mereka tidak mampu mengikut peraturan kerja yang ditetapkan oleh syarikat konsensi.

"Kami mengambil pengalaman daripada Indah Water Konsortium (IWK) Berhad di mana ramai pekerja diberhentikan dan keistimewaan dihapuskan," katanya.

Tidak memuaskan

Mohd Akhir berkata, walaupun semasa ditawarkan kerja, pekerja tidak akan ditukar dalam tempoh lima tahun tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Katanya, dalam diam-diam mereka menukar pekerja dan ini menyebabkan pekerja yang enggan menerima tawaran itu diberhentikan.

Sepatutnya, kata beliau, kerajaan mengambilkira kemampuan ketiga-tiga syarikat konsensi tersebut yang beroperasi secara percubaan sejak 10 tahun lalu tetapi perkhidmatan mereka dikatakan tidak memuaskan.

Berikutan itu, pekerja PBT yang terpaksa melakukan kerja-kerja membersihkan tersebut setelah penduduk mengadakan bahawa kerja yang dilakukan syarikat konsesi berkenaan tidak memuaskan.

"Kami telah menghantar bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 9 September lalu supaya menangguhkan perlaksanaan penubuhan tersebut sehingga perbincangan antara Anulae dengan pihak konsensi selesai.

"Bagaimanapun, sehingga kini kami belum mendapat jawapan dan kami berharap perbincangan dengan konsensi tersebut dapat diadakan secepat mungkin," katanya.