Mesyuarat tergempar Majlis Peguam pada 22 November
Mesyuarat Agung Tergempar Majlis Peguam (EGM) yang ditangguhkan bulan lalu, akan diadakan pada 22 November depan.
Mesyuarat Agung Tergempar Majlis Peguam (EGM) yang ditangguhkan bulan lalu, akan diadakan pada 22 November depan.
Pengerusinya, S Ambiga mengumumkan perkara itu di forum bertajuk "Berjalan Untuk Keadilan Bhg 2, Sekarang Masanya untuk Bersuara" di ibunegara malam tadi.
"Pihak sekretariat telah mengesahkan bahawa EGM itu, yang akan membincang status badan kehakiman, akan diadakan pada 22 November di Wisma MCA, Kuala Lumpur.
"Satu mesyuarat akan diadakan bagi membuat persiapannya," kata beliau.
Pada mulanya, EGM tersebut dijadual diadakan pada 6 Oktober tetapi ditangguhkan selepas kerajaan menubuhkan panel bebas untuk menyiasat kesahihan klip video yang menunjukkan perbualan telefon peguam Datuk VK Lingam, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang ketika itu merupakan Hakim Besar Malaya.
Bagaimanapun, panel yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor mendedahkan baru-baru ini bahawa pihaknya gagal mendapatkan satu laporan pun selepas tempoh tiga minggu.
Majlis Peguam sebelum ini berkata, EGM itu akan diadakan jika mereka tidak berpuashati dengan hasil siasatan panel tersebut.
Tindakan boikot
Ambiga juga berkata, majlis tersebut akan tunggu dan lihat persaraan Ketua Hakim Negara yang dijadualkan pada 31 Oktober sebelum memutuskan sama ada peguam akan memboikot kes-kes yang didengar oleh Ahmad Fairuz.
"Jika berlaku (lanjutan khidmatnya), maka kita kena berbuat sesuatu mengenainya," katanya sambil menambah bahawa pihaknya juga akan menimbang isu pemboikotan tersebut.
Forum anjuran Jawatankuasa Peguam Muda Kuala Lumpur itu, turut mendengar peguam hak asasi manusia terkemuka, Haris Ibrahim (kiri) menggesa rakyat supaya menjadikan krisis kehakiman itu satu isu pilihanraya agar kerajaan segera menanganinya.
"Saya rasa ia akan memberi tekanan yang kuat (melalui pilihanraya) dan mereka akan melihatnya bukan setakat peguam pembangkang, tetapi rakyat juga mahu satu badan kehakiman yang bersih.
"Ia terserah kepada kita dan pendirian yang kita buat. Saya mahu pembaharuan dalam badan kehakiman dan saya tidak bertolak ansur mengenainya. Bagi saya, saya akan membawa isu ini ke peti undi," kata Harris.
Seorang lagi panelis, pensyarah undang-undang Dr Azmi Sharom berkata, kerajaan telah menyalahgunakan amanah yang telah diberikan kepada mereka oleh badan kehakiman dan rakyat.
Profesor dari Universiti Malaya itu menjelaskan, para hakim sentiasa mempercayai kerajaan untuk menggubal perundangan yang mengandungi semangat perlembagaan.
"Bagaimanapun, jika anda membaca tulisan (bekas Ketua Hakim Negara), Tun Mohamed Suffian Hashim, ia mengandungi rasa kekecewaan yang amat sangat bagaimana kerajaan telah menyalahgunakan amanah yang diberikan kepada mereka (oleh pihak mahkamah)," katanya.
Forum tersebut dihadiri oleh kira-kira 100 orang. Berita asal

