Kementerian cadang k'jaan henti ambil pekerja asing
Kementerian Sumber Manusia akan mengemukakan cadangan kepada kabinet supaya menghentikan terus pengambilan pekerja asing mulai awal tahun depan.
Kementerian Sumber Manusia akan mengemukakan cadangan kepada kabinet supaya menghentikan terus pengambilan pekerja asing mulai awal tahun depan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar, cadangan tersebut akan dikemukakan pada akhir tahun hasil daripada kajian yang dijalankan oleh kementerian mengenai keperluan sebenar tenaga kerja asing di negara ini.
Menurut, Kajian tersebut yang dijalankan Jun lalu, mendapati jumlah pekerja asing di negara ini sudah melebihi keperluan.
"Kajian tersebut membabitkan 500 syarikat tempatan yang menggunakan pekerja asing bagi mengetahui sejauhmana perkhidmatan mereka di syarikat-syarikat berkenaan," katanya dalam temubual dengan Malaysiakini semalam.
Langkah itu juga, katanya, adalah untuk melindungi kepentingan pekerja tempatan kerana pada masa ini, pekerja asing mula mengambil alih pekerjaan yang sebelum dilakukan oleh orang tempatan.
"Kini jumlah pekerja asiing terlalu ramai sehingga menimbulkan pelbagai masalah, termasuk mereka yang terbabit dalam kegiatan jenayah di negara ini," katanya.
Masalah orang tengah
Bagaimanapun, kata Abdul Rahman, kerajaan menolak cadangan tersebut, maka Kementerian Sumber Manusia mahu mengambilalih pengurusan pengambilan pekerja asing dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KDN) bagi mengatasi masalah penyelewengan yang dilakukan oleh agensi pembekal yang dilantik oleh kementerian tersebut.
Pada masa ini, KDN bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi pembekal, manakala Kemeterian Sumber Manusia hanya bertindak mengesahkan kebenaran untuk agensi berkenaan membawa masuk pekerja asing ke negara ini.
Sehingga ini, kata Abdul Rahman, Kementerian Dalam Negeri melantik lebih 2,000 agensi yang membawa masuk pekerja asing untuk dibekalkan kepada majikan di negara ini.
Katanya, sesetengah agensi tersebut didapati melantik ejen atau orang tengah untuk mendapatkan seramai mungkin pekerja asing yang mahu bekerja di negara ini.
"Kita mesti mengakui bahawa pihak berkuasa telah gagal memantau dan menghentikan penyelewengan yang dilakukan oleh agensi pengambilan pekerja asing.
"Kementerian Dalam Negeri terlalu mudah meluluskan permit kerja kepada agensi menyebabkan pengambilan pekerja asing kini menjadi satu perniagaan yang lumayan kepada mereka.
Kegiatan jual pekerja
"Agensi yang tamak melakukan pelbagai penipuan termasuk membuat permohonan palsu pengambilan pekerja asing.
"Antaranya membawa masuk pekerja asing tanpa pengetahuan majikan, mengambil pekerja melebihi keperluan dan menjual pekerja antara RM1,000 dan RM2,000 seorang," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya semalam.
Abdul Rahman berkata, sehingga akhir bulan lalu, jumlah pekerja asing di negara ini ialah 2,021,086 juta dengan paling ramai dari Indonesia iaitu 1,163,111 orang, diikuti Nepal (222,836); Bangladesh (178,281); India (142,554); Burma (121,367) dan Vietnam (115,498).
Katanya, ini tidak termasuk kira-kira 600,000 pekerja asing pelbagai negara yang bekerja secara haram sejak bertahun-tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 726, 561 orang adalah di sektor pembuatan; peladangan (343,280); pembantu rumah (317,537); pembinaan (285,943); perkhidmatan (192,200) dan pertanian (155,578).
Beliau berkata, pekerja asing ini menguasai kira-kira satu perempat daripada keseluruhan pekerja iaitu 11.58 juta orang.
Iklan ambil pekerja
"Pengeluaran permit secara berleluasa itu menyebabkan berlaku perlambakan pekerja asing di pasaran tempatan.
Kata Abdul Rahman, pihaknya juga mendapati majikan juga lebih gemar mengambil pekerja asing kerana gaji yang rendah dan mudah untuk mengawal mereka.
"Ini dapat dilihat daripada iklan pengambilan pekerja tempatan cuma dibuat selama seminggu sedangkan sepatutnya sebulan," katanya.
Beliau berkata, pada mulanya pengambilan pekerja asing hanya untuk sektor tertentu dan bersifat sementara tetapi entah bagaimana sudah berlanjutan dan merebak ke semua sektor.
Abdul Rahman berkata, akibatnya pekerja-pekerja asing secara perlahan-lahan dan tanpa disedari telah mula mengambilalih pekerjaan yang sebelum ini dilakukan oleh pekerja tempatan.

