BPR ambil keterangan Ahmad Fairuz dan Tengku Adnan
Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengambil keterangan daripada 10 orang termasuk Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung klip video yang merakamkan perbualan telefon seorang peguam kanan mengenai pelantikan hakim.
Ketua Pengarah BPR Datuk Ahmad Said Hamdan berkata kenyataan mereka telah direkodkan oleh BPR dan mereka telah memberikan kerjasama dalam hal itu.
Kini, BPR hanya memerlukan salinan klip video asal yang belum disunting bagi membantu siasatan itu, katanya malam tadi.
Menurut Bernama, Ahmad Said berkata mana-mana individu termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memiliki salinan asal, perlu menyerahkannya kepada BPR.
Kerajaan telah menubuhkan panel tersebut selepas pendedahan klip video selama 8 minit itu yang menunjukkan peguam Datuk VK Lingam sedang berbual, didakwa dengan Ahmad Fairuz pada tahun 2000 mengenai pelantikan hakim-hakim "yang sehaluan'.
Klip video selama lapan minit itu didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 September lalu.
Panel bersidang Isnin
Pada masa itu, Ahmad Fairuz memegang jawatan Hakim Besar Malaya. Manakala Tengku Adnan, yang turut disebut dalam klip video tersebut, ketika itu merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga halehwal perundangan.
Ahmad Fairuz telah menghantar faks 'tiada komen' kepada Malaysiakini tetapi kemudiannya dilaporkan telah membuat penafian sebarang pembabitan dalam klip video itu, melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz.
Tengku Adnan juga telah menafikan bahawa beliau telah 'mengatur pelantikan hakim' tetapi sehingga ini belum menyatakan secara terbuka kesediaannya untuk membantu panel bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat kesahihan klip video tersebut.
Panel bebas itu yang diketuai bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor, akan bersidang Isnin depan.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri kelmarin menyebut, berkata sesiapa yang berhasrat memberikan sebarang bahan bukti kepada panel itu bagi mengesahkan kesahihan klip video itu boleh menghadiri sidang itu di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Tingkat 30, Menara Tun Razak di Jalan Raja Laut, di ibu negara.
Dua lagi anggota panel itu ialah aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.

