Samy: Masyarakat India tidak akan tersinggung
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu percaya masyarakat India tidak akan tersinggung dengan langkah Umno untuk mengadakan perhimpunan agung sewaktu sambutan perayaan Deepavali yang jatuh pada 8 November depan.
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu percaya masyarakat India tidak akan tersinggung dengan langkah Umno untuk mengadakan perhimpunan agung sewaktu sambutan perayaan Deepavali yang jatuh pada 8 November depan.
Katanya, ini kerana masyarakat India di negara ini berfikiran luas dan memahami keperluan Umno untuk mengadakan perhimpunan agung itu, katanya.
Samy Vellu memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Konvensyen Perniagaan Global bagi Network of International Sikh Entrepreneurship di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya hari ini, demikian menurut Bernama.
Sebelum ini, Setiauasaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, perhimpunan agung parti itu yang dijadual diadakan dari 5 hingga 9 November depan akan teruskan walaupun perayaan Deepavali disambut pada 8 November.
Katanya, sesi perbahasan dan pembentangan usul yang ditetapkan pada 8 November akan diteruskan seperti yang dirancangkan.
Menurut Radzi, jawatankkuasa pengurusan Umno tidak bercadang untuk mengisytiharkan 8 November itu sebagai 'hari cuti' bagi 2,500 perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung Umno kali ini.
Seperti biasa, perhimpunan agung tahun ini akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmi secara serentak perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada 5 November.
Manakala Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan merasmikan perhimpunan agung Umno pada 7 November.

