Zam tuduh DAP sudah melampau...
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata DAP sudah melampau apabila membawa wargaasing ke Parlimen bagi memberi pandangan terhadap sistem demokrasi dan keselamatan di negara ini.
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata DAP sudah melampau apabila membawa wargaasing ke Parlimen bagi memberi pandangan terhadap sistem demokrasi dan keselamatan di negara ini.
Tindakan seumpama itu, katanya, tidak akan berlaku di mana-mana negara lain, khususnya bagi kes yang masih dalam siasatan polis.
"Laporan akhbar hari ini menyebut Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (foto) telah membawa seorang lelaki warga asing Manjit Sokhai dari Montreal (Kanada) ke Parlimen atas dakwaan dipukul oleh mat rempit.
"Dalam soal ini, bagaimana seorang warga asing dengan mudah dibawa ke Parlimen dan memberi kenyataan yang negatif terhadap negara ini," katanya kepada pemberita.
Sebelum itu, Zainuddin (foto) bersama-sama Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Yusof Nor menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman penajaan program Suara Felda dan pelancaran drama bersiri Dinasti Bilut dengan RTM di Dewan Perdana Felda di ibunegara hari ini, demikian menurut laporan Bernama.
Zainuddin menyifatkan tindakan Lim sebagai satu agenda politik kerana cuba menggunakan warga asing untuk membuat kenyataan mengenai masalah dalaman negara.
Kenyataan penuh
Berikut adalah kenyataan penuh Menteri Penerangan mengenai tindakan yang dilakukan oleh parti pembangkang itu:
"Tindakan parti pembangkang DAP, membawa warga asing ke Parlimen untuk memberikan pandangan dan kenyataan mereka telah membuktikan bahawa betapa demokrasi diamalkan melampaui negara-negara bebas dan demokratik termasuk negara maju di barat.
"Perkara seperti ini tidak akan berlaku di negara-negara lain di mana orang yang terlibat dalam satu-satu kes yang masih dalam siasatan polis dibawa ke Parlimen dan membuat kenyataan mengenai kes tersebut.
"Sebelum ini, mereka pernah membawa dua orang warga China yang mendakwa menjadi mangsa polis dalam satu kes, tetapi kemudiannya terbukti yang mereka telah menipu rakyat negara ini. Mereka tidak terlibat langsung dalam kes yang mereka dakwa dan menggunakan parti pembangkang untuk membesar-besarkan kes ini.
"Adakah perkara ini akan dapat dilakukan di negara-negara lain? Adakah mereka yang terlibat dalam kes-kes tertentu boleh dibawa ke Parlimen di negara lain untuk memberikan kenyataan kepada media dan pihak lain?
"Seperti dalam laporan akhbar hari ini, semalam Lim Kit Siang telah membawa seorang lelaki warga asing, Manjit Sokhai dari Montreal ke Parlimen yang mendakwa dipukul tanpa sebab oleh mat rempit.
"Di sidang media bersama Lim Kit Siang di Parlimen semalam, Manjit dengan mudah membuat kenyataan berbau politik, bahawa jika kerajaan tidak berjaya menyelesaikan masalah asas iaitu menjaga keselamatan rakyat dan pelawat, bagaimanakah kerajaan berharap untuk berjaya dalam menjadikan Malaysia sebuah pusat pelaburan, pelancongan dan juga pusat pendidikan antarabangsa.
"Dalam soal ini, bagaimanakah seorang warga asing dengan mudah dibawa ke Parlimen dan memberikan kenyataan beliau yang negatif terhadap negara? Adakah dengan kehadiran beliau tiga atau empat kali setahun ke negara ini telah menjadikan beliau sebagai orang yang arif mengenai negara ini.
"Saya percaya kes beliau itu kini masih lagi dalam siastan polis dan bagaimanakah kita hendak tahu kejadian yang sebenar berlaku ke atas beliau yang didakwa dilakukan oleh mat rempit?
"Dalam soal ini, kita seharusnya membiarkan pihak polis untuk menjalankan tugas mereka yang selama ini sentiasa menjaga keselamatan rakyat dan pelancong sehingga ada yang terkorban.
"Soal mat rempit ini bukanlah satu perkara yang baru, kerajaan seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga pelbagai kementerian lain telah mengambil pelbagai tindakan untuk menghapuskan aktiviti mat rempit ini.
"Selain tindakan menggunakan undang-undang, beberapa kementerian telah merangka program bagi mengurangkan aktiviti mat rempit di jalanraya.
"Ini termasuklah syor oleh Kementerian Belia dan Sukan supaya dibina tempat khas untuk golongan terbabit untuk berlumba dan beberapa buah negeri termasuk Kerajaan Negeri Perlis telah pun menyediakan tempat khas untuk mereka.
"Saya merasakan bahawa DAP mahu menjadikan kejadian ini sebagai isu politik apabila menggunakan warga asing untuk membuat kenyataan mengenai masalah dalaman negara.
"Seperti diketahui tahun ini, negara menerima lebih 12 juta pelancong dan pelawat, dan adakah kejadian malang yang terjadi kepada beliau itu seharusnya digunakan sebagai satu nilai tara atau pertimbangan mengenai keadaan sebenar keselamatan di negara ini.
"Adakah jika seorang telah bergaduh di Oxford Street kes itu akan dibawa ke Westminster?
"Apakah Manjit ini boleh dibawa ke Parlimen Malaysia tanpa sebarang halangan jika negara ini tidak aman, tidak dijaga sebaiknya oleh pihak berkuasa dan jika tiada demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan".

