Perhimpunan agung Umno: Perwakilan bebas bahas semua isu
Perwakilan Umno bebas membahaskan semua isu dalam perhimpunan agung parti itu akan bermula 5 November ini, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Perwakilan Umno bebas membahaskan semua isu dalam perhimpunan agung parti itu akan bermula 5 November ini, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
"Kita tidak menyekat mana-mana perwakilan untuk membincangkan isu dan kita juga tidak mengeluarkan arahan hanya isu tertentu yang dibincangkan.
"Umno sangat terbuka dalam perkara ini...," katanya dalam sidang media hari ini.
Bagaimanapun, Radzi mengingatkan perwakilan supaya mengelak membahaskan kes membabitkan mahkamah, isu peribadi dan yang menyentuh Yang di-Pertuan Agong.
Radzi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, parti juga mengambil keputusan untuk tidak mengadakan siaran langsung sepanjang perhimpunan kali ini.
Perkara itu, katanya, diputuskan dalam mesyuarat pengurusan parti baru-baru ini. Perhimpunan tahun lalu telah disiarkan oleh saluran Astro.
"Orang ramai boleh mengikuti perkembangan perhimpunan agung Umno melalui laporan akhbar dan televisyen," katanya.
Radzi berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira sensiviti semua pihak ekoran siaran langsung yang dibuat tahun lalu.
Ucapan perwakilan
Siaran langsung tahun lalu menimbulkan pelbagai kritikan ekoran ucapan-ucapan sesetengah perwakilan yang berbau perkauman.
Bagaimanapun, Radzi menafikan ketiadaan siaran langsung itu berpunca daripada ucapan dan pendebatan dalam perhimpunan agung tahun lalu.
"Negara sudah 50 tahun merdeka dan rakyat sudah matang membuat penilaian mengenai ucapan tersebut," katanya.
Sementara itu, Radzi berkata, Ibu Pejabat parti telah menghantar jemputan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untk menghadiri perhimpunan kali ini.
Katanya, setakat ini Dr Mahathir belum menjawab sama ada akan menghadiri perhimpunan atau tidak.
Tahun lalu, bekas Presiden Umno itu tidak hadir kerana menjalani rawatan di Institut jantung Negara (IJN).
Seramai 2,522 perwakilan dari seluruh negara akan menghadiri perhimpunan tahun ini, dan 57 perwakilan dari 68 kelab Umno luar negara telah mengesahkan kehadiran mereka.
"Tiga belas parti pollitik jemputan daripada 31 negara yang diundang, telah berjanji akan datang. Kita jangka mereka (bakinya) akan membuat pengesahan pada saat-saat akhir," katanya.

