Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN panggil Sin Chew Daily, serah surat tunjuk sebab
Diterbitkan:  Apr 16, 2025 5:04 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan telah memanggil pihak akhbar Sin Chew Daily pada hari ini bagi tujuan siasatan berhubung ilustrasi muka depan jong yang mengibarkan bendera Malaysia dan China sempena dengan lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara itu, semalam.

Bagaimanapun, bendera Malaysia yang dipaparkan tidak mempunyai bulan sabit yang melambangkan Islam sebagai agama persekutuan.

“KDN memandang serius dan amat kesal dengan perbuatan akhbar Sin Chew Daily yang telah menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar bertarikh 15 April.

“KDN sudahpun memulakan tindakan siasatan serta merta dengan berpandu kepada dua perundangan yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301],” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini

Selain memanggil pihak akhbar Cina itu untuk siasatan, KDN juga memaklumkan bahawa surat tunjuk sebab juga telah diserahkan.

Menurut kementerian itu, ia tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.

“Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini,” kata KDN.

Ia juga mengingatkan bahawa Jalur Gemilang bukan sekadar simbol tetapi adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak.

“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414], boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa,” katanya.

KDN juga memberi amaran bahawa ia tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan,” kata KDN lagi.

Semalam, Sin Chew telah memohon maaf atas "kesilapan teknikal" tersebut. Sambil menzahirkan rasa kesal, mereka juga menyusun jari sepuluh memohon jutaan maaf kepada semua rakyat.

Ia kemudian membetulkan ilustrasi di versi digital dan menerbitkan semula ilustrasi yang diperbetulkan dalam edisi cetakannya hari ini.

Bendera Malaysia terdiri daripada garisan 14 jalur merah dan putih berselang-seli dan lambang bulan sabit dan bintang 14 mata yang dikenali sebagai bintang Persekutuan.

14 jalur, dengan lebar yang sama, mewakili status yang sama dalam persekutuan 13 negara anggota dan wilayah persekutuan, manakala 14 titik bintang mewakili perpaduan antara entiti ini.

Bulan sabit pula mewakili agama Islam sebagai agama persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS